fbpx
Deretan kedai makan suram tanpa kehadiran pelanggan dan pelancong di pekan Merapoh, Lipis.

Merapoh jadi pekan mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Penduduk di pekan Merapoh merayu kepada pihak berkuasa supaya mewujudkan pelbagai kemudahan bagi menarik lebih ramai pelancong berbelanja di situ sekali gus me­lonjakkan pendapatan mereka.

Penduduk mendakwa, pekan itu yang terkenal sebagai pintu masuk ke Gunung Tahan ke­tinggalan dari segi infrastruktur dan pembangunan berbanding kawasan pelancongan lain di Pahang.

Ia berbeza ibarat langit dan bumi dengan bandar Gua Musang, Kelantan yang terletak 15 minit dari pekan Merapoh kerana mempunyai pelbagai kemudahan.

Pekan Merapoh tiada kemudahan seperti chalet atau hotel, kedai cenderahati, pasar raya mahupun kedai serbaneka.

Seorang penduduk, Rozila Maziana Ahmad, 36, berkata, kebanyakan pelancong yang datang berkunjung ke Merapoh untuk melakukan pelbagai aktiviti akan menginap di Gua Musang yang terletak kira-kira 15 minit dari pekan Merapoh.

“Di Merapoh hanya ada beberapa buah inap desa yang diusahakan oleh penduduk setempat. Tidak ada hotel atau chalet yang boleh menempatkan jumlah pelancong yang ramai dalam satu-satu masa.

“Justeru itu, mereka (pelancong) lebih cenderung menginap di hotel sekitar Gua Musang, ditambah dengan pelbagai kemudahan yang ada di sana se­perti pilihan kedai makan, kedai serbaneka, pasar raya, kemudahan mesin pengeluaran wang automatik dan lain-lain,” katanya di sini baru-baru ini.

Rozila berkata, jika segala bentuk pembangunan bagi kemudahan para pelancong dapat disediakan di Merapoh, ia dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya dari segi penambahan sumber pendapatan.

“Pelancong datang ke Merapoh hanya menggunakan khidmat pemandu pelancong atau malim gunung yang terdiri daripada anak jati tempatan bagi menjalankan aktiviti seperti mendaki, meneroka gua batu kapur dan lain -lain.

“Selepas selesai menjalankan aktiviti, mereka akan ke Gua Musang untuk menginap dan ber­belanja di sana. Agak rugi kepada kita sebagai penduduk tempatan kerana tidak dapat menjana pendapatan sedangkan kampung kita merupakan kawasan tumpuan bukan sahaja pelancong domestik, malahan antarabangsa termasuk dari Dubai, Korea dan Hong Kong,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha gerai minuman Air Kelapa Ori Merapoh, Hasnah Mat Hussin, 63, berkata, sewajarnya pihak berkaitan dapat menyediakan lebih banyak kemudahan bagi merancakkan lagi ekonomi setempat sekali gus membuka ­ruang pekerjaan kepada golongan muda tempatan.

“Saya menetap di sini sejak 1979 dan tidak banyak perubahan berlaku di kawasan Merapoh yang terkenal sebagai salah satu pintu masuk ke Taman Negara Pahang.

“Oleh itu, saya berharap agar lebih banyak kemajuan dan kemudahan dapat disediakan agar ia dapat menarik minat pelancong untuk berbelanja di sini sekaligus mampu menaikkan taraf ekonomi penduduk setempat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN