PETALING JAYA – Impian seorang pemuda, Wan Mohamed Faridzuan Wan Saiful Nizam, 28, menjadi pakar dalam bidang pengendalian haiwan berbisa ular berjaya dicapai pada usia 24 tahun.
Dia yang kini menjawat jawatan Pegawai Bomba Kanan II mampu tersenyum setelah bergelar jurulatih selepas menyertai Skuad King Cobra (SKC) di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Marang, Terengganu, sejak enam tahun lalu.
Menurutnya, faktor kekurangan jurulatih bagi kursus berkaitan, menjadi pendorong dirinya untuk menceburi bidang tersebut secara serius.
“Pada 2016, saya ikuti Kursus Pengendalian Haiwan Berbisa Ular dan jadi pencetus pelaksanaannya kerana minat untuk berkongsi ilmu berkaitan ular bersama para anggota bomba dan masyarakat.
“Saya ceburi bidang tersebut pada 2018 apabila keperluan jurulatih dan penggerak kursus ini di JBPM seluruh negara tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi.
Sepanjang tempoh bersama SKC katanya, beliau dan pasukan telah mengendalikan hampir 500 kes melibatkan pelbagai spesies ular.

Ujarnya, kebanyakan spesies yang ditangkap adalah ular senduk dan ular hitam dengan kedua-duanya jenis berbisa serta berisiko maut jika dipatuk.
Namun jelasnya, pengalaman paling mencabar adalah apabila beliau menjalankan operasi menangkap ular tedung selar sepanjang hampir 4 meter seorang diri.
“Ia adalah operasi paling mencabar pernah saya hadiri iaitu pada awal tahun 2020 sebelum pandemik Covid-19, yang ambil masa kurang 20 minit untuk diselesaikan.
“Ular itu berada dalam pokok berduri. Ia lari dan sembunyi bawah kayu yang ada banyak barang. Saya terpaksa alihkannya seorang diri sebelum berjaya ditangkap,” kongsinya.
Ketika ditanya adakah beliau pernah diserang reptilia berbiasa itu, Mohamed Faridzuan memaklumkan, beliau pernah dipatuk beberapa kali.
“Saya pernah dipatuk beberapa kali oleh spesies berbisa dan tidak berbisa.
“Bagi ular tidak berbisa, ia hanya tinggalkan kesan luka kecil dan tak perlu mendapatkan rawatan di hospital,” ujarnya.














