Paroi hiburkan peminat e-Sukan ketika bersiaran langsung permainan video
MENDENGAR ulasannya ketika melakukan penstriman langsung (live stream) tidak ubah seperti mendengar pengulas-pengulas profesional sedang melakukan tugas mengulas perlawanan atau perlumbaan.
Kata-kata spontan dan puitis yang dilontarkan pemuda bernama Hadi Afiq Mohammad Tahir ini nyata menjadi kunci untuknya menghiburkan penonton ketika bermain permainan video secara langsung.
Ulasan-ulasan seperti ‘rembatan tanpa akal’ serta ‘pintasan tanpa akal’ ketika bersiaran berjaya menarik ribuan pengguna media sosial Facebook untuk terus melekat di laman rasminya, Paroi Studios.
Lebih menarik, Hadi yang lebih dikenali dengan nama Paroi pernah berkolaborasi dengan pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) negara, Hafizh Syahrin Abdullah menerusi permainan video MotoGP 2020 secara online.
Selain MotoGP 2020, dia turut melakukan ulasan ketika bermain permainan video bola sepak, eFootball Pro Evolution Soccer (PES) 2020 dan sering menjadikan skuad Harimau Malaya sebagai pilihan.
Menjadikan pengulas legenda MotoGP dan tanah air, Nick Harris serta Allahyarham Datuk Hasbullah Awang sebagai idola dan rujukan, ia ternyata banyak membantu pemuda berusia 29 tahun itu ketika melakukan penstriman langsung.
“Pada awal penglibatan dalam bidang strim ini, saya langsung tidak terfikir untuk mengulas ketika bermain permainan video. Bagaimanapun, semasa menyaksikan perlumbaan MotoGP di televisyen, saya tertarik dengan gaya pengulasnya.
“Justeru, terdetik di hati saya untuk cuba melakukan ulasan ketika bermain permainan bola sepak menerusi pasukan Harimau Malaya tetapi saya akui ia sukar pada awalnya. Bagaimanapun, saya tidak mudah berputus asa.
“Kemudian, saya banyak lakukan latihan serta rujukan bagi memperbaiki gaya ulasan. Ternyata, kerja keras saya berbaloi apabila strim yang dilakukan pernah mencapai sebanyak 6,400 tontonan pada satu masa,” katanya.
Pada masa sama, bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui bersedia untuk mengulas mana-mana perlawanan atau perlumbaan sebenar sekiranya diberi peluang oleh mana-mana stesen televisyen.
Meskipun sedar mengulas di kaca televisyen tidak sama seperti ketika melakukan strim, namun Hadi percaya dia mampu melakukannya jika diberikan masa membuktikan kebolehannya.
“Sudah semestinya saya bersedia jika diberi peluang untuk membuat ulasan di kaca televisyen. Saya tahu ulasan perlawanan atau perlumbaan sebenar tidak sama dengan permainan video.
“Bagaimanapun, jika tidak diberikan ruang dan masa, kita mungkin tidak tahu kemampuan masing-masing. Selain itu, saya juga sentiasa bersedia untuk belajar dan memperbaiki kekurangan yang ada,” ujarnya.
Sebagai rujukan, Hadi sudah membelanjakan sejumlah RM17,500 untuk membeli kelengkapan bagi menjayakan penstriman langsung di Facebook sejak lima tahun lalu. – K! ONLINE














