fbpx
Pengamal media sentiasa mengamalkan penulisan berita berintegriti. - Gambar hiasan

Wartawan, kod etika dan tanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengulas mengenai dunia kewartawanan baru-baru ini.

Bagi beliau, media arus perdana terdiri dalam kalangan wartawan atau pengamal media yang profesional, terlatih, berlesen dan berautoriti.

Dengan demikian, penyampaian berita dihasilkan oleh wartawan media arus perdana adalah berpandukan kepada sumber yang sahih dan boleh diyakini.

Sukar dinafikan barangkali ada segelintir berpandangan skeptikal terhadap pendapat ini, namun realitinya dunia kewartawanan memang begitu.

Wartawan media arus perdana khususnya harus kudus dalam melaporkan berita yang tepat serta mematuhi Kod Etika Kewartawanan.

Antara Etika Kewartawanan Malaysia melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapat maklumat sahih.

Mesti juga menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritik yang saksama.

Bermakna, wartawan yang disifatkan sebagai profesional, terlatih, berlesen dan berautoriti wajib menentusahkan sesuatu sumber dan fakta.

Kebertanggungjawaban itu digalas setiap hari dalam tugasan dan ia membentuk kredibiliti dunia kewartawanan.

Implikasi yang dimaksudkan pula amat besar kerana melibatkan aspek tatakelola dan perundangan.

Hakikat ini tatkala diselami lantas mengundang suatu persoalan.

Pada zaman teknologi maklumat nan pantas ini, kita boleh peroleh daripada banyak saluran, tetapi adakah ia laporan yang berkredibiliti daripada dunia kewartawanan?

Seorang rakan wartawan, Siti A’isyah Sukaimi, 37, ketika mengulas perihal tersebut berkata, seseorang wartawan memerlukan maklumat yang sahih dalam pemberitaan mereka.

Katanya, tanpa maklumat sahih atau dari sumber yang diyakini, sesebuah maklumat tidak akan dilaporkan.

“Kita boleh dapat banyak maklumat, tetapi adakah ia maklumat yang ‘genuine’. Ia proses yang kadang kala mengambil masa untuk disahihkan.

“Kita perlukan maklumat yang berasas untuk dilaporkan kerana sebarang kesilapan besar boleh mengudang implikasi,” katanya.

Namun, beliau mengakui tiada yang sempurna kecuali Tuhan, kerana itu terdapat istilah ‘ralat’ dalam dunia kewartawanan walaupun ia amat jarang berlaku.

Ujar beliau, ‘ralat’ dalam dunia kewartawanan juga sebuah refleksi kepada erti kebertanggungjawaban yang digalas oleh wartawan profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute, Datuk Mustapa Omar baru-baru ini dipetik berkata, kepesatan teknologi membawa cabaran rumit kepada landskap kewartawanan.

Bagaimanapun, kata beliau, latihan formal dan garis panduan etika menjadi tembok pemisah dengan ‘wartawan jadian’.

Menurut beliau, zaman sekarang ini semua orang boleh menjadi ‘wartawan’ dan buat berita sendiri, tetapi sejauh mana sahih dan benar berita mereka.

“Inilah yang membezakan mereka dengan kita dalam profesion wartawan ini, kita berpegang teguh kepada etika kewartawanan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN