MEKAH – Sebanyak 10 tan bahan asas masakan yang terdiri daripada rempah ratus pracampur digunakan dalam penyediaan makanan untuk jemaah haji atau duyufurrahman tahun ini.
Pengarah Operasi Katering, Lembaga Tabung Haji (TH) Rashidi Razali@Ghazali berkata, bahan itu diproses di Malaysia sebelum dihantar ke Mekah.
Katanya, proses penyediaan dan penghantaran semua rempah dan bahan pracampur ini mengambil masa dua bulan lebih awal bagi memastikan ia dapat digunakan pada musim haji nanti.
“Bahan ini dihantar ke Mekah menggunakan jalan laut.Rempah pracampur berbentuk serbuk yang siap diproses akan dimasukkan ke dalam pek seberat lima kilogram setiap satu.
“Ia kemudiannya dimasukkan ke dalam kotak khas sebelum dihantar menerusi jalan laut,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Tambah Rashidi, pihaknya perlu menyediakan rempah ratus ini lebih awal disebabkan perjalanan yang mengambil masa lebih lama selain faktor keselamatan.
Kata beliau, pihaknya menghasilkan bahan tersebut yang terdiri daripada pelbagai rempah dan bawang serta halia dengan menggunakan formula khas.
“Tukang masak hanya perlu masukkan rempah dan bahan mentah saja kerana garam, gula dan asam pun sudah siap dicampur di dalam pek pracampur ini.
“Satu pek rempah pracampur lima kilogram itu boleh digunakan untuk hidangan seramai 200 hingga 250 orang jemaah,” jelasnya.
Tambahnya, hanya empat menu disediakan untuk jemaah mengikut hari dan giliran iaitu masak lemak, masak kicap, kari ikan dan kari daging selain nasi briyani.














