fbpx
Potongan harga murah di beberapa gerai pakai di Jalan TAR dengan pelbagai strategi jualan di Kuala Lumpur.

Baju raya tidak laku, dilelong RM100 untuk 4 pasang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peniaga-peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) terpaksa membuang lelongan baju raya kerana banyak stok tidak habis terjual.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila jualan raya tahun ini tidak serancak seperti yang diharapkan malah ada koleksi raya 2024 yang belum terusik walaupun sudah diberi harga lelongan.

Tinjauan Kosmo! di lokasi po­pular Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) mendapati hampir semua peniaga di Jalan Tar berusaha untuk menghabiskan stok baju raya dengan membuat potongan harga besar-besaran.

Menurut seorang pembantu kedai pakaian Tijarat Textiles yang mahu dikenali sebagai Ratna, 42, kedainya telah membuat potongan harga sejak malam raya dan selepas raya daripada RM320 turun ke RM180 sehingga RM90 untuk sepasang baju kurung.

Ujarnya, penurunan harga terpaksa dilakukan oleh majikan untuk menghabiskan stok, mendapat pulangan modal serta membayar sewa kedai yang mencecah RM25,000 sebulan.

“Lelongan paling murah yang ada di sini, kami letak hanya RM100 untuk empat pasang baju kurung, kalau nak turun lagi tak boleh sebab nak fikir sewa kedai lagi,” katanya.

Sebuah premis mempamerkan jualan baju raya pada harga rendah di Jalan TAR, Kuala Lumpur semalam.

Tambahnya, walaupun potongan harga sudah dibuat, tetap tiada pembeli kerana kebanyakan pembeli perit untuk membelanja lebih memandangkan baru habis hari raya dan cuma membeli untuk keperluan lain.

“Mereka perit mungkin sebab fikir barang sekolah, gaji belum masuk, gaji tak naik, dan barang keperluan pula naik, jadi baju raya bukan keutamaan,” luahnya.

Sebelum ini, katanya, keuntungan lelongan selepas raya boleh mencecah RM2,000 ke RM3,000, namun kali ini hanya boleh mencecah RM1,000 saja untuk sehari.

Berkongsi luahan sama, me­nurut seorang penjual persalinan raya koleksi batik Indonesia dikenali sebagai Naya, 38, berkata, rasa kecewa kerana baju dijual yang telah diturunkan harga tetap tidak terjual sejak raya sehingga hari ini.

“Dah lama tak ada orang datang sejak hari raya sampai lah hari ini, mungkin disebabkan raya pun dah nak habis buat apa mereka nak beli lagi, nak kata beli untuk raya haji lama lagi.

“Sekarang ini ramai orang beli dalam talian, padahal baju kita di sini semua rekaan baru juga, murah lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga baju kurung batik Dian Collection, Sakdiah Umar, 45, memberitahu bahawa strateginya menurunkan harga berhasil apabila separuh daripada stok jualannya berjaya dihabiskan.

“Orang memang tunggu kita bagi diskaun baru nak borong banyak-banyak, jadi saya turun­kan harga sepasang baju kurung batik daripada RM95 kepada RM65 saja lepas raya.

“Alhamdulillah sambutan amat mengalakkan sehinggakan hampir 80 peratus koleksi raya telah berjaya dijual selepas raya malah saya juga sudah dapat balik modal,” ujar Sakdiah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN