fbpx
Pesanan makanan mengguna pakai konsep akad jual beli bai’al-Istisna’.

K2

Tak bayar tempahan haram di sisi Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Assalamualaikum, saya ada sebuah kedai makanan. Pada suatu hari, ada satu keluarga singgah makan di kedai saya, lalu mereka pun membuat pesanan makanan yang agak banyak. Kemudian, setelah pesanan siap, keluarga tersebut terus tinggalkan meja tanpa membuat pembayaran. Persoalan di sini, bolehkah saya menuntut ganti rugi daripada mereka? Apakah hukum mereka berbuat demikian? Mohon pencerahan Datuk mufti.

Jawapan: Hukum lari daripada membayar tempahan tanpa persetujuan pihak penerima tempahan adalah haram dan berdosa besar atas sebab melanggar janji yang telah disepakati di awal akad.

Pihak kedai berhak menuntut ganti rugi daripada pelanggan atas kerugian yang menimpa.

Pada dasarnya, jual beli boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk selagi mana keredaan pihak terlibat dan selari dengan kaedah syarak.
Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” (Surah al-Nisa’, 29)

Berkenaan hal pesanan makanan ini, secara asasnya, ia mengambil konsep akad jual beli tempahan iaitu bai‘ al-Istisna‘. Menurut istilah fiqh, jual beli tempahan adalah tindakan meminta seseorang yang berkemahiran supaya membuat sesuatu berdasarkan ciri-ciri tertentu yang berkaitan dengan kemahirannya, manakala bahan digunakan disediakan oleh pembuat.

Akad jual beli tempahan ini menjadi perdebatan dalam kalangan para fuqaha dan secara ringkasnya seperti berikut:

Jika akad tersebut memenuhi syarat-syarat yang perlu dipenuhi dalam jual beli salam iaitu spesifikasi barangan dinyatakan dengan jelas, bahan yang digunakan juga dinyatakan dengan jelas, tempoh penyerahan dinyatakan, bayaran diserahkan pada ketika akad dimeterai di samping syarat-syarat lain.

Jika semua syarat ini dipenuhi, kita boleh sahkan akad tersebut sebagai akad jual beli salam walaupun akad tersebut menggunakan lafaz jual beli. Dalam soal akad, perkara yang diambil kira adalah niat tersirat, dan bukan bergantung kepada lafaz serta apa yang kelihatan.

Bagi akad yang tidak memenuhi syarat jual beli salam, dan inilah yang biasa berlaku dalam akad jual beli hari ini, terutamanya dalam masalah penyerahan modal atau harga barangan.

Kebanyakan penempah akan hanya membayar sebahagian daripada harga yang ditetapkan kepada pembuat ketika membuat tempahan. Ada kalanya, mereka tidak membuat sebarang bayaran sama sekali.

Setelah itu, penempah akan membayar secara ansuran atau sekali gus selepas barangan ditempah siap.

Malah, ada kalanya masih ada baki bayaran yang perlu dituntut oleh pembuat selepas itu. Inilah yang biasa dilakukan oleh orang ramai. Amalan seperti ini tidak dikira sebagai jual beli salam. Dengan itu, jual beli ini tidak sah menurut ulama mazhab al-Syafi’i.

Bagaimanapun, para ulama mazhab Hanafi membenarkan akad ini sebagaimana yang diamalkan oleh orang ramai kerana mengambil kira keperluan.

Berkenaan situasi di atas, pelanggan restoran datang ke kedai lalu meletakkan pesanan makanan diingini seterusnya tukang masak menyediakannya.

Di sini, berlakunya janji tukang masak untuk menyediakan makanan dan janji pelanggan untuk membayarnya.

Di samping itu, Majlis Syariah Majlis Perakaunan dan Kewangan Islam Sedunia memutuskan bahawa jual beli tempahan (bai‘ al-Istisna‘) merupakan akad lazim yakni sebuah kontrak yang tidak membolehkan salah satu pihak membatalkannya tanpa persetujuan pihak lagi satu.

Oleh itu, perbuatan lari daripada membayar tempahan makanan yang telah dipesan di kedai makan merupakan haram dan berdosa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN