fbpx
Beberapa ekor gajah menceroboh ladang kelapa sawit di Felda Cherul, Kemaman kelmarin.

Gajah bawa ‘geng’ serang kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Penduduk Felda Cherul, di sini hidup dalam ketakutan sejak Isnin lalu apabila sekumpulan gajah bukan sahaja menceroboh kawasan ladang, malah turut ‘menyerang’ pe­nempatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Felda Cherul 1, Ghazali Khazani berkata, haiwan liar itu telah merosakkan kelapa sawit, nanas dan kelapa yang diusahakan penduduk.

“Sebelum ini, gajah hanya se­ring memasuki kawasan ladang, tetapi sejak Isnin lalu haiwan liar terbabit sudah semakin berani berkeliaran di kawasan perumahan kami pula.

“Bermula dengan seekor, bilangan gajah yang menceroboh bertambah kepada dua ekor sejak Selasa lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Felda Cherul, di sini semalam.

Terdahulu tular rakaman vi­deo berdurasi 0.58 saat yang memaparkan seekor gajah berkeliaran di kawasan penempatan di tanah rancangan itu sejak Selasa lalu.
Ghazali berkata, setakat ini, segelintir penduduk kampung terpaksa menggunakan mercun untuk menghalau haiwan liar berkenaan dari kawasan perumahan mereka.

Begitupun, katanya, mereka masih bimbang kehadiran semula kumpulan gajah terbabit dalam waktu terdekat.

Seorang lagi penduduk, Mat Zaid Jusoh, 56, berkata, setakat ini, 10 penduduk yang mengusahakan sawit, nanas dan kelapa telah terjejas apabila tanaman mereka dirosakkan haiwan liar itu.

“Sebahagian pokok yang rosak itu hanya menunggu masa untuk mengeluarkan hasil. Kerugian dialami dianggarkan mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, tindakan pemantauan kini sedang dilakukan di kawasan Felda berkenaan.

“Kita sedang mengawal kawasan Felda Cherul terbabit da­ripada terus diceroboh kumpulan gajah tersebut.

“Saya harap penduduk kampung jangan dekati dan ambil tindakan sendiri kerana ia boleh mengundang bahaya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN