HAMPIR empat dekad penyanyi yang juga vokalis kumpulan rock terkenal Wings, Datuk Awie menghambakan kehidupannya di atas pentas dan dunia glamor.
Konsert demi konsert dan populariti yang tidak pernah pudar, namun tiada siapa menyangka Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 56, kehilangan sesuatu yang sangat berharga iaitu kehidupan normal.
Enggan terlepas untuk menikmati kehidupan seperti orang lain, Awie membuat keputusan nekad untuk berehat daripada menjadi vokalis kumpulan Wings dalam tempoh sembilan tahun akan datang.
Menurut Awie, kesibukkan kerja sebagai penyanyi dan pelakon menyebabkan beliau terlepas banyak momen istimewa bersama anak-anak.
“Anak ada program di universiti dan asrama, saya tidak dapat hadir kerana setiap minggu saya akan keluar menyanyi.
“Anak yang kecil ada konsert tadika, saya tidak dapat datang kerana saya pun sibuk buat konsert. Ketika bulan Ramadan, orang lain dapat berbuka bersama keluarga, saya pula di dalam hutan di Kuala Kangsar, Perak sibuk dengan penggambaran filem.

“Saya tidak dapat rasa apa yang bapa lain nikmati bersama anak mereka. Kehidupan saya memang menyedihkan,” luah Awie sedikit beremosi.
Tambah bapa kepada enam cahaya mata itu, sudah terlalu banyak pengorbanan dan pencapaian yang dilakukan selama hampir empat dekad bersama kumpulan Wings.
Lantas, tiada apa lagi yang ingin dikejar selain menjalani kehidupan tenang bersama keluarga.
“Saya menyanyi sejak muda, jadi saya tidak dapat menikmati sepenuhnya zaman remaja dan dewasa. Saya dan anggota Wings ‘duduk’ di atas pentas selama hampir 40 tahun. Itu tempoh yang sangat lama.
“Bahkan saya juga terpaksa berkorban banyak dengan menolak nikmat rezeki makanan selama puluhan tahun.
“Saya tidak boleh sentuh durian dan banyak makanan lain demi menjaga tenaga dan kualiti suara demi reputasi karier.
“Tidur harus cukup. Banyak pantang larang yang harus dijaga sampai saya rasa tidak ‘enjoy’ apabila bersama keluarga,” luah Awie.

Bukan bersara
Bintang filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu bagaimanapun bertegas, keputusan untuk berehat bukan bermakna beliau bersara daripada dunia hiburan.
Sebaliknya, suami kepada Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin itu hanya mahu memperlahankan kerjaya seni dan fokus terhadap perniagaan dan Rumah Produksi Merah.
“Bagi saya cukup-cukuplah, sudah sampai masa untuk saya melihat dunia. Saya mahu ada masa untuk membina empayar perniagaan.
“Saya juga mahu menjaga rumah produksi yang dibangunkan dan jika ada watak-watak sesuai, sesekali saya akan berlakon.
“Mungkin saya akan menjadi pengarah mahupun penerbit.
“Tidaklah bersara terus kerana dunia hiburan masih menjadi lapangan saya mencari rezeki cuma kurangkan bekerja di hadapan khalayak, lebih kepada belakang tabir,” ujar Awie yang bakal menimang cahaya mata ketujuh tidak lama lagi.
Sambung Awie lagi, keputusannya turut mendapat ‘restu’ daripada semua anggota kumpulan Wings dan tiada sebarang isu berbangkit berhubung kelangsungan hidup kumpulan rock gergasi itu.
“Saya ada tempoh sembilan tahun lagi untuk bersama Wings. Masih lama dan kami semua tiada masalah apabila sampai masanya saya berehat. Anggota yang lain masih mahu meneruskan Wings.
“Jika mereka mahu mencari vokalis baharu, saya tiada masalah. Kami semua sedar, mencari pelapis bukan sahaja untuk vokalis tetapi posisi lain pada masa depan adalah tidak mudah.
“Kalau betul ada sebuah band lain yang hadir dengan pakej lengkap dan sesuai untuk meneruskan legasi Wings, mungkin kami akan fikirkan.
“Tetapi buat masa ini belum terfikir lagi,” kata Awie yang ditemui di Putrajaya baru-baru ini.

Konsert solo
Dalam perkembangan lain, sebelum muncul dengan sebuah konsert besar sempena ulang tahun ke-40 Wings pada tahun depan, Awie terlebih dahulu merancang sebuah konsert solo yang dinamakan Journey.
Konsert tersebut bakal berlangsung di dua lokasi iaitu Star Theatre, Singapura pada 27 Julai ini dan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ogos 2024.
“Perjalanan karier solo saya sudah memasuki 30 tahun dengan pelbagai kisah pahit manis.
“Jadi, saya akan rangkumkan semua momen istimewa sepanjang perjalanan karier ke dalam sebuah konsert.
“Tiada penyanyi undangan, hanya saya yang akan menyanyi tetapi mungkin akan ada pelakon undangan bagi melakonkan babak-babak istimewa dalam karier saya,” tutur Awie.
Meskipun tidak dapat lari daripada menyanyikan lagu-lagu Wings, Awie berjanji, memberi pengalaman berbeza buat penonton.
“Kali terakhir saya buat konsert solo adalah pada 2020 iaitu konsert Romantika. Bezanya kali ini adalah konsert monolog.
“Konsert selama dua jam ini adalah bingkisan yang begitu peribadi tentang perjalanan karier saya sebagai penyanyi bermula dari tahun 1985.
“Ini adalah konsert solo terakhir saya, harap peminat tidak lepaskan peluang. Insya-Allah konsert ini akan dirakamkan dan kisah saya akan dibukukan selain mungkin akan diterbitkan dalam bentuk filem,” tutur Awie.
Penjualan tiket akan bermula pada 15 Mei 2024 menerusi laman web, www.pixeltix.com.my.















