KUALA LUMPUR – Lokasinya yang berdekatan dengan tiga pusat beli belah terkemuka di ibu negara dan banyak projek pembinaan baharu menjadikan flat empat tingkat di Jalan Abraham, Off Jalan Imbi, di sini terus menjadi pilihan utama warga asing untuk didiami.
Kejadian itu mengakibatkan warga tempatan bimbang serta takut untuk menyewa di situ berikutan majoritinya adalah merupakan pendatang warga asing.
Bangunan yang dahulunya pernah didiami segelintir orang tempatan kini seolah-olah ‘disapu bersih’ oleh warga asing sehingga terbina koloni golongan tersebut.
Seorang peniaga jalanan, yang mahu dikenali sebagai Rashid, 30-an, berkata, kawasan tersebut dilihat strategik buat golongan warga asing bergerak dari tempat kerja ke kediaman mereka.
“Kebanyakan majikan sendiri turut menyewa premis di sana untuk didiami pekerja mereka.
“Ikut pemerhatian saya setiap kali ada projek pembinaan baharu akan berlaku pertambahan warga asing di sini, dari situ kita boleh nampak pengaruh mereka dalam sektor pembinaan.
“Ada seorang kawan (warga tempatan) masih tinggal di sini, setakat ini tiada masalah sebab warga asing ini dengar cakapnya, dekat surau juga mereka akan dengar cakap,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung surau berdekatan yang ingin dikenali Azman berkata, orang tempatan sendiri tidak mahu menyewa di lokasi tersebut kerana dipenuhi dengan warga asing meskipun ditawarkan harga murah dan berdekatan dengan tempat kerja.
Dia yang juga kariah surau itu berkata, rata-rata warga tempatan sangsi untuk tinggal di kawasan itu atas faktor keselamatan dan persekitaran yang tidak sesuai untuk berkeluarga.
“Saya sendiri pun tak tinggal di sini, lagi rela duduk jauh daripada rasa tak selamat, orang tempatan ada tinggal sini tapi boleh dikira dengan jari.
“Harga rumah sini tak pasti, boleh jadi mahal sebab jarak jalan kaki sahaja untuk ke semua tempat tarikan terkemuka di Kuala Lumpur,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, flat empat tingkat di Jalan Abraham, Jalan Imbi yang pernah digempur pihak berkuasa setahun lalu kembali meriah dengan kehadiran warga asing apabila menjadikannya sebagai tempat pertemuan dan berkumpul terutama pada hujung minggu.
Tinjauan mendapati, kawasan sekeliling flat tersebut seolah-olah dikuasai warga Bangladesh dan Myanmar yang bersidai di kaki lima bangunan hingga membuatkan warga tempatan risau untuk berjalan di situ. -KOSMO! ONLINE














