fbpx
Warga asing membeli bekalan barangan harian di salah sebuah kedai runcit yang dibuka oleh rakan mereka di flat Jalan Abraham Off Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

Warga asing ‘tawan’ flat Jalan Imbi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Flat empat tingkat di Jalan Abraham Off Jalan Imbi yang pernah digempur pihak berkuasa setahun lalu kembali meriah dengan kehadiran warga asing apabila menjadikannya sebagai tempat pertemuan dan berkumpul terutama pada hujung minggu.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kawasan sekeliling flat tersebut seolah-olah dikuasai warga Bangladesh dan Myanmar yang bersidai di kaki lima bangunan tersebut hingga membuatkan warga tempatan risau untuk berjalan di situ.

Lebih memualkan apabila terdapat segelintir warga asing yang membuang air kecil pada din­ding bangunan selain tidak mengendahkan pengurusan sampah hingga mengundang kehadiran tikus dan bau hanyir.

Berada di situ dirasakan seolah-olah seperti mengunjungi negara dunia ketiga walaupun dikelilingi bangunan pencakar langit di te­ngah ibu kota.

Seorang warga asing yang ditemui berkata, dia suka tinggal di situ tetapi terpaksa berkongsi bilik dengan tiga rakannya seolah-olah berada di dalam asrama.

“Saya sampai sini (Malaysia) setahun lalu. Suka duduk di kaki lima sebab luas lagipun bilik sempit dan hanya boleh tidur sahaja.

“Kawasan flat ini menjadi pilihan kerana dekat dengan kawasan pembinaan dan pusat beli-belah sekali gus memudahkan pergerakan kami (warga asing) ke tempat kerja,” katanya kepada ­Kosmo!.

Pada 7 Januari 2023, Kosmo! melaporkan seramai 1,051 warga asing dengan 544 daripadanya berusia antara setahun hingga 68 tahun ditahan atas pelbagai ke­salahan imigresen dalam serbuan di flat tersebut.

Dianggarkan kira-kira 3,000 warga asing tinggal dan bekerja di sekitar kawasan berkenaan.

Daripada 544 pendatang ­asing tanpa izin (PATI) itu, seramai 30 kanak-kanak Myanmar bukan ­pemegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) turut ditahan.

Antara kesalahan dikesan dilakukan PATI dalam operasi itu adalah tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas dan tinggal lebih masa.

Dalam pada itu, terdapat segelintir warga asing yang menjadi tauke apabila membuka kedai runcit dengan menjual barangan dari negara asal mereka bagi ­memenuhi permintaan pelanggan rakan senegara di kawasan sekitar.

Antara barangan yang dijual adalah pakaian, buah-buahan, sireh, makanan tradisional, sa­yur-sayuran dan barangan ke­perluan asas seperti stokin serta tali pinggang.

Sementara itu, Ahnaf Azeme, 37, berkata, dia mengesyaki terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih tinggal di kawasan itu tetapi jumlahnya tidak sebanyak dahulu.

Dia yang telah 20 tahun menetap di situ mendakwa, PATI semakin berkurangan kerana beberapa projek pembinaan di ibu negara yang semakin siap dan lengkap dibina baru-baru ini.

“Sekarang PATI tidak banyak sebab ada yang sudah balik ke negara asal. Muka baru tu ada sikit saya rasa. Baru-baru ni ba­nyak permit kerja yang tamat jadi kena balik dan banyak projek pembinaan utama sudah siap.

“Hendak tengok sini ­meriah datang hari minggu (Sabtu, Ahad), masa itu geng-geng dia akan berkumpul ramai-ramai,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang ingin dikenali Azman, kehadiran warga Bangladesh sedikit sebanyak memberikan kemeriahan di surau kerana mereka yang banyak terlibat gotong royong kawasan sekitar.

“Tetapi ada warga Myanmar mereka yang kerap mabuk, terbaring atas jalan siang-siang hari, kita dah tak larat nak cakap. Satu blok mesti ada beratus tikus ekoran kawasan yang dibiarkan kotor.

“Sini pemegang kad UNHCR ada yang keluar pergi kerja, belum kira yang berkeluarga. Kita pun geleng kepala melihatnya,” ujar­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN