SEJAK pertama kali diperkenalkan oleh rakannya tentang alat muzik harp semasa kunjungan di sebuah rumah ibadat, pemuda itu mula tertarik untuk mengenali dan belajar bermain instrumen tersebut.
Selepas memaklumkan kepada kedua-dua ibu bapanya, Nathaniael Shin, 17, kemudian mendaftar di sebuah sekolah muzik iaitu Akademi Harp yang mengkhususkan tentang pengajian instrumen tersebut.
Menurut pemuda berasal dari Klang, Selangor itu, dia mula belajar harp sejak tiga tahun lalu.
Ujarnya, ketika itu, kelasnya diadakan secara dalam talian susulan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Minat terhadap muzik sudah ada sejak kecil. Sebelum ini saya belajar bermain piano secara sendiri menerusi pendengaran sahaja.
“Namun, selepas mengenali harp, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mempelajarinya dan mendapatkan pelajaran secara profesional di Akademi Harp,” katanya ketika ditemu bual K2 di Akademi Harp, Damansara Perdana, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, di akademi tersebut, dia mula mempelajari instrumen itu dengan menguasai harp jenis tuas (lever harp) sebelum beralih kepada harp jenis pedal (pedal harp) pada 2021.
Katanya lagi, mempelajari alat muzik tersebut tidaklah begitu sukar terutama bagi mereka yang sudah biasa dengan instrumen bertali.
Hal ini kerana ia mempunyai mekanisme penghasilan muzik yang sama, namun cara bermain dan penalaan adalah berbeza mengikut jenis harp.
Harp merupakan sejenis alat muzik bertali yang mempunyai rupa ‘anggun’ dengan bunyi yang indah.
Alat muzik ini wujud sejak 2,500 tahun Sebelum Masihi (SM). Harp telah digunakan dalam pelbagai budaya di seluruh dunia.
Untuk makluman, harp terdiri daripada beberapa tali yang ditarik dan dipetik dengan jari atau menggunakan plektrum.

Lazimnya, harp mempunyai papan kayu berbentuk segi tiga dengan tali terpanjang di bahagian bawah dan terpendek di sebelah atas.
Harp mempunyai kedudukan yang unik dalam sejarah muzik.
Ia adalah instrumen tertua yang diketahui telah wujud dalam pelbagai bentuk mengikut peredaran zaman.
Bukti terawal menunjukkan harp ditemui di Mesir purba sekitar 2500 SM.
Ia berbentuk seperti busur dan hanya menghasilkan nota muzik terhad.
Peredaran zaman telah membawa kepada kewujudan pelbagai harp seperti harp Irish pada 800 Masihi, harp diatonik (1,800 Masihi), harp bertali tiga (1700 Masihi), harp pedal tunggal (1770 Masihi), harp chromatic atau cross strung harps (1800 Masihi) dan kemunculan harp pedal yang ada pada hari ini (1810 Masihi).
Di Malaysia, pengaruh muzik harp dipercayai bermula sejak wujudnya persembahan orkestra yang mengiringi persembahan muzik pentas.
Menurut guru di Akademi Harp, Cindy Loo, antara orkestra terawal yang menampilkan harp adalah Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
“Harp dipercayai mula diperkenalkan melalui persembahan muzik klasik di Malaysia. Ia kemudian menarik minat segelintir pihak untuk mempelajarinya kerana keunikan serta keindahan muzik yang dihasilkan oleh instrumen ini.
“Saya juga mula belajar harp selepas tamat pengajian ijazah di Akademi Harp.
“Kini, saya kembali untuk melestarikan instrumen tersebut sebagai tenaga pengajar di akademi ini selama 20 tahun,” ujar pemain profesional harp berusia 40-an itu.
Tambahnya, semasa mahu belajar harp, dia mengakui agak sukar untuk mencari sekolah muzik yang mempunyai pengkhususan dalam bidang tersebut.
Ujarnya, hanya Akademi Harp yang mengajar alat muzik tersebut secara profesional.

Akademi Harp diasaskan oleh pemain alat muzik profesional, Khoo Jee Fei pada Disember 2009 dan sehingga kini ia telah melahirkan ramai bakat tempatan yang hebat.
Jelas Cindy lagi, pengajian harp di Malaysia mengkhususkan kepada dua jenis iaitu tuas dan pedal.
“Biasanya, di peringkat asas, pelajar akan didedahkan dengan harp tuas sebelum mereka beralih kepada harp pedal yang biasa digunakan oleh pemain profesional.
“Beza kedua-dua instrumen ini adalah saiz dan cara penalaan yang mana tuas dilakukan secara manual (tangan) dan pedal menggunakan pedal kaki pada harp,” jelasnya.
Kongsinya lagi, seperti bermain piano, pelajaran harp juga mempunyai peringkat pengajian atau gred dengan paling tinggi adalah lapan.
Berkongsi tentang senario muzik harp di Malaysia, Cindy memberitahu, instrumen itu kini sudah mula mendapat perhatian golongan muda yang mengenali alat muzik itu menerusi media sosial.
Malah, hari ini sudah ramai anak tempatan yang bermain secara profesional dan menyertai persembahan orkestra di seluruh dunia.
“Jika dahulu instrumen harp hanya dimainkan oleh pemain luar, malah jika ada yang belajar pun mereka akan ke luar negara seperti Perancis.
“Sekarang sudah berbeza, kita juga mempunyai pelajar daripada pelbagai peringkat umur dan mereka belajar harp bukan sekadar mahu bermain secara profesional, sebaliknya sebagai hobi,” katanya.
Jelasnya lagi, meskipun harp biasanya dimainkan dalam persembahan muzik klasik, namun ia sebenarnya merupakan sebuah instrumen yang ‘versatile’.
Harp juga boleh dipadankan dengan muzik moden bagi menghasilkan irama yang selari dengan pelbagai genre.
Ini menjadi antara daya penarik kepada harp, sekali gus menjadikan alat muzik itu kekal relevan mengikut peredaran zaman.
Harp juga menjadi salah satu instrumen yang mampu mengembangkan kerjaya pemain profesional di dalam mahupun luar negara. Harp elektrik mewakili gabungan tradisi dan teknologi moden.














