LENGGONG – Pasangan panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi yang ditempatkan di Zoo Negara adalah tertakluk kepada ikatan perjanjian antara Malaysia dan China dalam tempoh 10 tahun berakhir pada 2024.
Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda itu melalui China Wildlife Conservation Association (CWCA) itu dimeterai sejak tahun 2014 iaitu tahun ketibaan pasangan Giant Panda di negara ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, justeru apa jua keputusan terhadap kedua-dua haiwan tersebut hendaklah mengikut apa yang terkandung dalam perjanjian berkenaan.
Kata beliau, ini termasuk sekiranya hendak memindahkan haiwan tersebut ke zoo lain.
“Kita perlu merujuk kepada perjanjian tersebut termasuklah dalam soal kuasa dan autoriti dalam menentukan pemindahan dan penempatan panda berkenaan.
“Persetujuan republik itu meminjamkan pasangan panda gergasi berkenaan adalah atas dasar hubungan istimewa yang terjalin antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa hadir pada Majlis Kesyukuran Menteri Besar Perak dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Dewan Komuniti Kemas Lenggong di sini hari ini.
Majlis tersebut bagi meraikan beliau dan Datuk Saarani Mohamad.
Media sebelum ini melaporkan Persatuan Haiwan Malaysia mendesak kerajaan memulangkan semula tiga panda di bawah jagaan Zoo Negara terbabit kepada China memandangkan kos penjagaannya tinggi termasuk premium tahunan insuran hidupan itu melebihi RM500,000 setahun.
Dua ekor beruang panda gergasi iaitu Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan oleh kerajaan China pada 2014 menerusi Program Perjanjian Bersama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi. -K! ONLINE














