fbpx
Gambar Hiasan

Kesan konflik Iran-Israel lebih buruk jika perang meletus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERANGAN lebih 300 peluru berpandu dan dron dari Iran ke Israel menggemparkan penduduk meskipun ia boleh dianggap bukan sesuatu yang mengejutkan selepas Tehran berkali-kali mengeluarkan amaran kepada Tel Aviv.

Serangan pada Sabtu lalu itu meskipun adalah yang pertama seumpamanya, Iran sebelum itu memberi amaran kepada Israel mengenai tindak balas itu selepas Rejim Zionis dituduh menyerang bangunan konsulat Tehran di Syria bulan lalu.

Iran berkata pangkalan udara Israel yang terletak 15 kilometer di tenggara Beersheba digunakan oleh Zionis dalam serangan ke atas konsulatnya. Justeru, ia membuat keputusan melakukan serangan balas.

Susulan itu, seluruh dunia kini menanti dengan penuh berhati-hati tindak balas Israel yang akan menentukan sama ada konflik di Asia Barat akan merebak lebih meluas.

Dengan peperangan di Gaza, dunia menyuarakan kebimbangan jika pertikaian Iran-Israel berkembang menjadi konflik berskala penuh. Iran yang diketahui menjadi seteru Amerika Syarikat (AS) perlu berdepan tindak balas bersama daripada sekutu Israel itu termasuk sekutu-sekutunya yang lain.

Namun pada masa sama, Israel tidak mungkin berupaya berperang dengan dua pihak secara serentak terutamanya dengan Iran yang jauh lebih besar secara geografi dengan populasi 90 juta orang.

Bagaimanapun, perlu diingat Israel memiliki sokongan kuat AS dan sekutu Washington lain selain aset perang canggih.
Segala kemungkinan ini perlu diambil kira selain impak perang kepada seluruh dunia yang ketika ini sudah cukup ‘lelah’ dengan kesan perang Ukraine serta krisis kemanusiaan di Gaza.

Menurut Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan, meskipun Malaysia tidak mempunyai hubungan ekonomi dengan Israel, jika perang dengan Iran meletus, ia akan menjejaskan aktiviti ekonomi di Asia Barat.

“Kita banyak berdagang dengan negara di Asia Barat. Rantau itu juga mempunyai komoditi penting iaitu minyak. Justeru, jika perang meletus, ia akan melonjakkan harga minyak mentah dunia.

“Kesan yang akan dilihat lebih buruk berbanding perang di Ukraine kerana risiko perang meluas di seluruh rantau Asia Barat,” katanya.

Jelasnya, disebabkan itu, mesyuarat tergempar negara-negara kuasa besar, Kumpulan 7 (G7) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendesak kedua-dua pihak agar tidak mengambil tindakan melulu.

“Perang Ukraine dan Gaza sudah cukup memporak-perandakan geopolitik dan ekonomi dunia,” jelasnya.

Ditanya mengenai serangan Iran, beliau percaya konflik itu tidak akan melarat kerana Tehran dilihat melancarkan strategi serangan yang memberi peluang kepada Israel untuk memintas peluru berpandu.

“Menurut laporan media antarabangsa, 48 jam sebelum serangan Tehran memberi amaran kepada Turkiye untuk memberitahu Tel Aviv dan Washington mengenainya.

“Strategi Iran seolah-olah mahu memberi peluang kepada Israel untuk memintas dron dan peluru berpandu kerana enggan berperang secara langsung,” katanya.

Namun, sejauh mana konflik itu berkembang bergantung kepada tindak balas Israel dan kedegilan Benjamin Netanyahu sama ada menuruti desakan ‘abang besar’ atau ambil keputusan sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN