fbpx

Penjaga rumah Allah biarlah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASIH cukup terkesan dengan apa yang disebarkan di media sosial mengenai dua pelajar tahfiz yang menerima saguhati RM100 untuk 27 hari berkhidmat sebagai imam tarawih baru-baru ini.

Jika benar kisah itu, maka khidmat imam muda berkenaan adalah cuma RM3.70 untuk mengimamkan setiap solat tarawih 20 rakaat. Nilai tersebut jika dibandingkan dengan kos kehidupan hari ini, nak beli hidangan menu rahmah pun tidak cukup.

Meskipun kita tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, namun kes berkenaan amat mencemarkan nama baik jawatankuasa masjid dan surau yang lain.

Penulis berharap kejadian seperti itu adalah kes terpencil kerana rata-rata penjaga rumah Allah itu didapati begitu cemerlang dalam menguruskan hal ehwal masjid, malah terpuji melaksana inisiatif pelbagai aktiviti sosial dan ekonomi komuniti setempat.

Jawatankuasa pengurusan masjid ini adalah kumpulan yang amat dipandang tinggi oleh masyarakat. Hal ini sejajar dengan rumah Allah itu bukan sekadar tempat beribadah, malah sebagai pusat kegiatan keilmuan dan dakwah.

Masjid adalah lambang perpaduan ummah dan mempunyai martabat tinggi di sisi Allah SWT. Oleh sebab itu, institusi masjid tidak seharusnya dicemari dengan apa sahaja yang menjejaskan imej Islam itu sendiri.

Namun begitu, untuk menegur kesilapan dan kelemahan jawatankuasa masjid sering kali disalah tanggap sebagai cubaan mengaibkan mereka selain mahu menjatuhkan moral pemegang amanah.

Apa pun, kita amat berharap supaya setiap jawatankuasa yang dipilih dan terpilih menguruskan masjid menjaga amanah dengan sebaik mungkin termasuk menjaga supaya tidak dijangkiti dengan penyakit ‘hati’.

Jangan ada pilih kasih, apabila penceramah selebriti dibayar beribu-ribu hanya untuk kuliah sejam hingga sejam setengah tetapi pelajar tahfiz ini dilayan seumpama melukut di tepi gantang sedangkan mereka adalah generasi masa depan yang bakal mewarisi dakwah dan kepimpinan negara.

Jika masjid dan surau tidak mampu dari aspek kewangan usahlah menggunakan khidmat pelajar tahfiz berkenaan, imam sedia ada sudah cukup. Bacalah surah-surah pendek kerana pahala dan kesempurnaan solat tarawih bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan beribadah.

Kita bimbang kejadian yang berlaku ke atas pelajar tahfiz tersebut memberi kesan negatif kepada individu terbabit mengenai masa depan mereka dan menghilangkan keyakinan kepada ilmu yang dipelajari.

Mereka ini tentu sekali mahu mengelak daripada dicap sebagai penunggang agama, menggunakan kemahiran menghafaz untuk meraih wang ringgit tetapi janganlah kita sebagai golongan diberi amanah menunggang pelajar tahfiz ini dengan sewenang-wenangnya.

Semoga kita semua mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku. Muhasabah diri dan hormati setiap tetamu yang datang ke rumah Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN