PETALING JAYA – Satu akaun media sosial yang dikenali ‘Nabi Asli’ dikesan telah menyebarkan ajaran sesat menerusi lebih 40 video yang dimuat naik di YouTube dan laman X.
Hasil semakan Kosmo! mendapati, akaun terbabit ditubuhkan sekitar 2013, namun mula aktif sejak dua tahun lalu dengan mempunyai lebih 100,000 pengikut.
Video animasi yang dimuat naik itu didapati menyebarkan kisah Nabi Muhammad SAW berdasarkan hadis dan ayat al-Quran yang telah diubah suai untuk menyesatkan fahaman terhadap ajaran Islam yang sebenar.
Antaranya ialah memburukkan keperibadian mulia Nabi Muhammad SAW dengan tuduhantuduhan jahat selain memanipulasikan kisah baginda bersama
para isterinya dengan tujuan menyesatkan orang ramai.
Selain itu, video itu didapati telah disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Terdapat juga dakwaan mengatakan pemilik asal video itu adalah dari negara seberang.
Bagaimanapun, pengguna media sosial terutama yang beragama Islam menggesa pihak berkuasa menyekat dan menghapuskan akaun itu segera.
Ini kerana ramai yang mula memandangkan serong terhadap agama Islam selepas menonton video animasi songsang tersebut selain dikhuatiri lebih ramai akan menjadi pengikut ‘Nabi Asli’.
Seorang wanita dikenali sebagai Dinda menyeru semua pengguna media sosial untuk membuat laporan terhadap akaun ‘Nabi Asli’ kepada pihak berkuasa
dan penyedia platform laman X atau YouTube.

“Jom laporkan akaun ini ramai-ramai, mereka ada di YouTube dan X, mereka punya tahap menghina sangat melampau,” katanya.
Seorang lagi dikenali sebagai Mieys memberitahu, penyebaran ajaran sesat itu semakin serius apabila pihak terlibat menggunakan sumber-sumber yang membuatkan Islam nampak buruk dan hina di mata manusia.
“Saya sudah tonton beberapa video yang dikongsikan. Mereka menyesatkan manusia dengan pemahaman hadis dan al-Quran yang salah. Sungguh, akaun ini adalah fitnah kepada umat Islam,” kata Mieys.
Sementara itu, pemilik akaun X, @izzy_come mendedahkan, selain di YouTube dan laman X, kumpulan ajaran sesat tersebut sudah menubuhkan kumpulan
Telegram untuk menyasarkan lebih ramai pengikut agar fahaman songsang mereka mudah tersebar.
“Dekat Telegram juga bersepah-sepah kumpulan ini hina agama kita,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mengenai satu lagi kumpulan ajaran sesat yang popular sebagai ‘The Ahmadi Religion Peace and Light’ atau turut dikenali dengan nama ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’.
Kumpulan tersebut didakwa secara jelas menyimpang daripada agama Islam didalangi seorang pendeta di Malaysia yang kini aktif menyebar luas ajaran tersebut di media sosial.
Terbaharu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat laman sesawang dan menurunkan lima kandungan media sosial
berkaitan ajaran sesat The Ahmadi Religion of Peace and Light.
Menurut MCMC, pihaknya akan terus menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Negeri-negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang ajaran sesat tersebut daripada terus berleluasa.















