SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itulah perumpamaan yang dapat digambarkan oleh seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Ali terhadap dirinya.
Menurutnya, mahligai rumah tangga yang dibina bersama isteri tercinta selama lebih satu dasawarsa akhirnya terlerai kerana masalah kesihatan menimpa dirinya.
“Janji untuk susah senang bersama ketika kami lafazkan di awal pernikahan, kini hanya tinggal omongan kosong isteri saya.
“Apabila saya diuji dengan masalah kesihatan, dia akhirnya memilih untuk memohon fasakh.
“Dia memberi alasan tidak tahan hidup dengan saya kerana tidak boleh menunaikan nafkah zahir dan batin,” katanya dengan nada kecewa.
Mengulas tentang masalah kesihatan dihadapinya, Ali yang kini berusia pertengahan 40-an berkata, dia sebenarnya berhadapan dengan masalah diabetes sejak awal 20-an lagi.
Ali mengakui, selain faktor genetik keluarga, dia berhadapan dengan masalah itu kerana tidak menjaga pemakanannya.
Sejak kanak-kanak lagi, dia suka mengambil makanan dan minuman manis setiap hari.
“Boleh dikatakan ketika usia belasan tahun saya suka minum minuman berkarbonat.
“Ketika mahu berkahwin, saya tidak memberitahu isteri tentang masalah diabetes yang dihadapi.
“Ini kerana, keadaan ketika itu tidak begitu teruk,” jelasnya yang berasal dari sebuah negeri di utara Semenanjung.
Lama-kelamaan, diabetes yang dihadapi oleh Ali semakin teruk dan dia juga berhadapan masalah berat badan berlebihan.
Disebabkan diabetes juga, sebahagian kaki Ali terpaksa dipotong.

“Hal ini menyebabkan saya sukar untuk bekerja dan akhirnya terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti.
“Setelah berhenti kerja, kami sekeluarga berhadapan dengan masalah kewangan dan saya sering bergaduh dengan isteri,” jelasnya.
Tambah Ali, isterinya yang bekerja mula mengeluh kerana terpaksa menjadi ketua keluarga untuk mencari nafkah.
Ali mengakui, masalah kesihatan itu menyebabkan dia tidak aktif bergerak dan cepat penat.
Bagi membantu keluarganya, dia ada mengusahakan perniagaan secara online.
Dalam pada itu, Ali mengakui disebabkan masalah kesihatan, dia berhadapan dengan situasi ‘mati pucuk’.
Hal itu menyebabkan dia tidak dapat melayani dan memberi ‘kepuasan’ kepada isterinya apabila bersama.
“Selepas berhadapan dengan masalah ini, hubungan saya bersama isteri menjadi semakin renggang.
“Malah, isteri saya juga memilih untuk tidur di bilik berasingan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ali juga menjelaskan, dia dan isterinya sering bergaduh disebabkan masalah kewangan.
Isterinya yang sebelum ini tidak pernah meninggikan suara kepadanya mula bercakap kasar dengan Ali.
“Malah, ada ayat-yang keluar dari mulutnya membuatkan saya terasa sehingga mengalirkan air mata.
“Saya sendiri tidak mengetahui sebab dia bersikap demikian setelah berhadapan dengan masalah ini,” jelasnya.
Sementara itu, Ali juga mendapati isterinya sering pulang lewat dari tempat kerja.
Ketika di rumah, dia sering melihat isterinya selalu tersenyum bersendirian ketika menggunakan telefon pintar.
“Saya dapat rasakan dia seperti ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain di belakang saya.
“Namun, saya tidak mempunyai bukti untuk bertanyakan hal tersebut kepadanya,” katanya.
Tidak lama selepas itu, isterinya menyatakan hasrat untuk berpisah kerana sudah tidak tahan hidup dengan Ali.
Isterinya itu mengakui, dia ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain dan mereka memiliki hasrat untuk berkahwin.
“Saya kecewa dengan isteri, tetapi setelah difikirkan kembali keadaan saya yang tidak sempurna, sukar untuk saya menunaikan tanggungjawab sebagai suami.
“Akhirnya, saya membiarkan dia menuntut fasakh dan akhirnya kami sah berpisah di sebuah mahkamah syariah,” terangnya.
Tambahnya, dia kini tinggal bersama keluarga di rumah pusaka dan bersyukur kerana adik-beradiknya yang lain masih mengambil berat tentang kesihatan dirinya.














