fbpx
ROBERT DOWNEY JR.

Robert Downey, dari najis dadah ke trofi ulung Oscar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Selepas lebih empat dekad mencurah keringat dan bakat di layar perak, akhirnya pelakon Robert Downey Jr. berjaya mengenggam trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Academy ke-96 menerusi filem Oppenheimer baru-baru ini.

Kemenangan tersebut cukup manis apabila aktor yang terkenal dengan watak Iron Man itu menewaskan pelakon hebat yang lain iaitu Sterling K Brown, Ryan Gosling, Mark Ruffalo dan Robert De Niro.

Ironinya, Robert membawa pulang trofi Oscar buat julung kalinya selepas pernah dicalonkan sebanyak tiga kali.

Sebelum ini, dia pernah tercalon untuk kategori Pelakon Terbaik menerusi filem Chaplin pada 1993 dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk filem Tropic Thunder (2009).

Bagi Robert, selain watak Lewis Strauss yang dilakonkan dalam filem Oppenheimer di samping aktor Cillian Murphy, episod gelap zaman kanak-kanaknya telah membentuk karakternya hari ini dan menjadikan dia seorang pelakon yang baik.

Tiga kali tercalon pada Anugerah Akademy, akhirnya Robert berjaya menggenggam trofi ulung itu menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk filem Oppenheimer. 

“Terima kasih pada zaman kanak-kanak saya yang cukup teruk dan terima kasih kepada isteri, Susan Downey.

“Dia (isteri) menjumpai, menyelamatkan dan menyayangi saya sehingga saya ‘hidup’. Sebab itu, saya berada di sini hari ini,” ucapnya di atas pentas selepas menerima trofi daripada aktor gandingannya dalam Iron Man 2, Sam Rockwell.

Menyentuh tentang kejayaan filem Oppenheimer yang membawa pulang tujuh trofi Oscar, lelaki berusia 58 tahun itu menyifatkan pengarah, Christopher Nolan adalah seorang yang genius.

“Dia (pengarah), cukup bijak mengemudi perjalanan filem dan menjadikan satu pasukan terbaik dalam tugas masing-masing.

“Saya sangat menyayangi francais Marvel, setelah 12 tahun menjadi Iron Man, impian saya adalah mahu membintangi sebuah filem dengan konsep berbeza daripada Marvel, tetapi dalam masa sama memberi impak kepada diri sendiri dan penonton.

“Saya mengapai semua impian tersebut dalam Oppenheimer dan menyifatkannya sebagai salah satu filem terbaik yang pernah saya lakonkan,” kata Robert lagi.

Persahabatan

Selain kejayaan di pentas Oscar, kongsi Robert perkara terbaik dan termahal yang diperolehi daripada filem biopik saintis bom atom itu adalah persahabatan bersama barisan pelakon utamanya.

Akuinya, hubungannya dengan barisan pelakon filem Oppenheimer seperti Cillian Murphy, Emily Blunt dan Matt Damon cukup rapat.

“Satu perkara yang cukup mahal dalam filem Oppenheimer adalah persahabatan. Kami menjadi rapat ketika penggambaran dan promosi filem.

“Sejak itu memetik kata Emily Blunt, kami akan kekal bersama seumur hidup dan sehingga ke hari ini kami masih berbalas mesej bertanya khabar dalam ‘group chat’ dengan agak kerap,” ujarnya.

Kata pelakon kelahiran New York, Amerika Syarikat itu, persahabatan mereka terjalin sejak penggambaran filem berkenaan di New Mexico. Ibarat berada di kem musim panas, kesemua barisan pelakon tinggal di sebuah hotel yang sama.

Jasa pengarah

Malah, tiada siapa antara mereka mampu membantah apabila pengarahnya, Christopher Nolan mengarahkan barisan pelakon tinggal di hotel yang sama dan tidak memiliki treler peribadi di set penggambaran.

“Ketika penggambaran di tengah gurun New Mexico semua pelakon diletakkan dalam sebuah hotel. Hubungan lebih kepada rakan serumah. Kami makan dan banyak menghabiskan masa bersama, akhirnya menjadi sangat rapat.

Pernah berdepan fasa gelap bergelumang dengan najis dadah, Robert kini mula membuktikan kepada dunia bahawa tiada yang mustahil untuk digapai sekiranya meletakkan azam tinggi demi berjaya. 

“Pengalaman tidak dapat dilupakan apabila kami harus berdiri selepas penggambaran babak masing-masing kerana kekurangan kerusi di set penggambaran.

“Bagi pengarah, jika ada kerusi pelakon akan duduk dan tidak fokus, secara tidak langsung bermakna kami tidak bekerja. Memang satu pengalaman berbeza apabila bekerja dengan Christopher Nolan.

“Selain masalah kerusi, kami juga tiada kafe atau restoran bergerak di set untuk melepak. Jadi, kami hanya bergantung antara satu sama lain, seperti kata Emily Blunt kami umpama sebuah geng yang tidak dapat dipisahkan sehingga ke akhir hayat,” cerita Robert lagi.

Dalam pada itu, satu perkara yang mengejutkannya adalah pencalonan sulung Emily Blunt dalam Anugerah Academy.

“Tercalon dan menang trofi Oscar sudah cukup mengejutkan saya, tetapi perkara yang membuatkan saya bertambah terkejut serta tidak percaya adalah percalonan sulung sahabat saya Emily Blunt pada anugerah ini.

“Dia seorang pelakon yang bagus dan rasa agak musykil dia tidak tercalon menerusi karya-karyanya sebelum ini yang saya rasakan cukup hebat,” kongsinya.

Dadah, masa depan

Berbalik kepada ucapan mendalam Robert buat isterinya, Susan, mungkin ramai yang tidak tahu sejarah hitam dalam kehidupannya sebelum bergelar seorang pelakon terkenal Hollywood.

Ketika dirinya bertemu dengan isterinya, Susan di set penggambaran filem Gothika pada 2003, dia berada di fasa paling bawah dalam kehidupannya.

Wanita itu yang membantunya untuk bangkit semula dalam industri seni selepas kegagalannya dalam perkahwinan pertama dan peperangannya dengan masalah ketagihan dadah.

“Jujur saya katakan hari saya menerima Oscar seolah-olah mengimbas kembali hari perkahwinan saya dan isteri.

“Kami diberi bilik hotel untuk bersiap ke majlis anugerah dan ketika itu kami berdua diserang anxiety. Perasaan yang sama ketika hari perkahwinan dan kami pulang bersama trofi dengan perasaan yang cukup bahagia.

Robert (kiri) bersama barisan pemenang trofi utama Oscar 2024 iaitu Da’Vine Joy Randolph (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik), Emma Stone (Pelakon Wanita Terbaik) dan Cillian Murphy (Pelakon Lelaki Terbaik).

“Satu rahsia yang ramai orang tidak tahu adalah saya lebih memerlukan pekerjaan ini (tugas sebagai suami kepada Susan) daripada dia memerlukan saya. Disebabkan dia, anda melihat saya sebagai lelaki yang lebih baik pada hari ini,” kongsi Robert tentang isterinya.

Sambungnya lagi, selain sebagai pasangan, isterinya juga adalah seorang penerbit yang merupakan rakan kongsinya untuk banyak projek seni yang telah dirancang.

Selepas memenangi Oscar, Robert bakal muncul dengan mini siri terbaharu di HBO berjudul The Sympathizer yang diadaptasi daripada novel terlaris 2015 nukilan Viet Thanh Nguyen.

“Kami sentiasa berbual tentang pelbagai perancangan untuk masa depan. Selepas Oscar, saya dan isteri bekerjasama menerbitkan mini siri The Sympathizer.

“Demi mini siri ini saya harus membuat tranformasi penampilan diri. Siri ini tidaklah terlalu berat tetapi saya cukup berbangga dengan hasilnya,” kata Robert lagi.

Sementara itu, Robert turut berkongsi tentang musim ketiga dan terakhir siri fantasi Sweet Tooth di Netflix terbitannya bersama isteri yang dijangka bakal bersiaran pertengahan tahun ini.

“Banyak yang ingin kami lakukan dan gapai impian bersama.

“Tidak hanya sebagai pasangan tetapi rakan kongsi dan orang kreatif di sebalik pembikinan sebuah karya yang bagus.

“Saya lihat kolaborasi bersama isteri sebagai penerbit umpama inside job (kerja dalaman). Saya percaya tugas itu tidak mudah, tetapi kami mempunyai impian dan cuba untuk mencapainya bersama-sama,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN