KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sebanyak RM3.3 bilion dari tahun 2018 hingga 2023 bagi kerja-kerja penyelenggaraan pavemen di jalan-jalan Persekutuan di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun, jumlah peruntukan tersebut masih belum dapat menyelesaikan masalah jalan rosak secara keseluruhannya.
“Berdasarkan rekod kementerian, masih terdapat sejumlah RM3.3 bilion peruntukan yang diperlukan bagi menyelesaikan `backlog’ kerja penyelenggaraan yang melibatkan laluan Persekutuan sepanjang 3,821.03 kilometer.
“Seperti yang pernah disebutkan sebelum ini, pelbagai faktor luaran telah menyumbang kepada kerosakan jalan. Antaranya faktor pertambahan bebanan trafik dan kenderaan berat yang melebihi muatan menjadi salah satu punca kerosakan jalan dan ia turut memendekkan jangka hayat jalan berkenaan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berhubung tindakan yang telah atau yang akan diambil oleh KKR untuk mengatasi masalah pembaikan jalan raya iaitu turapan bukan tampalan yang berlaku di seluruh Malaysia.
Alexander berkata, pendekatan yang diambil mengatasi perkara itu berdasarkan beberapa kriteria dan pertimbangan kejuruteraan dalam penentuan keutamaan bagi lokasi kerja penyelenggaraan jalan.
Menurut beliau, lokasi-lokasi ditentukan berdasarkan tahap dan jenis kerosakan jalan, kadar isipadu kenderaan berat, hierarki jalan, kadar kemalangan dan kitaran hayat jalan.
Jelas beliau, perkara itu perlu diambil kira bagi mengetahui kemampuan dan keupayaan struktur jalan sedia agar mampu menampung kadar pertumbuhan isipadu trafik semasa.
“Selain itu, dalam sesuatu reka bentuk struktur jalan adalah berdasarkan garis panduan yang telah diwujudkan seperti Arahan Teknik Jalan (ATJ), Spesifikasi Piawai Jalan (SPJ) dan Nota Teknik Jalan (NTJ) bagi menjaga kualiti penurapan jalan dan mampu menampung jangka hayat yang lebih lama dan berkesan.
“Bagi mengatasi masalah ini, pemilihan kaedah rawatan penyenggaraan yang tepat berdasarkan jenis kerosakan yang berlaku ditapak perlu dilaksanakan. Kaedah rawatan secara “mill and pave” dan overlay adalah sesuaian bagi lokasi yang mengalami kerosakan fungsi, manakala bagi lokasi yang mempunyai kerosakan struktur kaedah rawatan yang lebih besar seperti “reconstruction” atau “partial reconstruction” adalah lebih disarankan.
“Selain itu, beberapa ujian tapak sebelum pemilihan kaedah rawatan adalah ditekankan supaya pemilihan yang dilaksanakan adalah tepat dan bersesuaian dengan kerosakan yang dialami,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Mohd. Hasnizan, Alexander berkata, bagi meningkatkan ketahanan jalan, KKR turut meneroka teknologi turapan baharu dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan melakukan audit terhadap kerja-kerja tersebut. – KOSMO! ONLINE.