fbpx

Interaksi pesakit, pakar di platform kesihatan digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGGUNA aplikasi boleh memilih emoji untuk meluahkan perasaan bagi membolehkan pakar mengetahui tahap keadaan semasa mereka.

KESIHATAN merupakan satu aspek penting bagi semua orang kerana akan memberi kesejahteraan dalam kehidupan.

Walaupun begitu, setiap daripada kita tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah kesihatan yang kadangkala menjejaskan mental seseorang sehingga menyebabkan berlakunya tekanan dan kemurungan.

Bagi membantu mereka di luar sana untuk bersama menjaga kesihatan secara menyeluruh telah mendorong Azran Osman Rani membangunkan aplikasi Naluri.

Naluri merupakan satu platform yang menyediakan perkhidmatan kesihatan secara digital berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Azran menjelaskan, sembilan tahun lalu dia telah kehilangan ayah tercinta akibat masalah kanser dan juga diabetes.

“Pada waktu itu, saya melihat kebiasaannya pesakit yang mempunyai sesuatu masalah kesihatan kronik hanya mendapat rawatan secara fizikal di hospital.

“Sebenarnya dalam masa sama, kesihatan mental pesakit juga terjejas yang boleh menyebabkan mereka keresahan,” katanya.

Tambahnya, atas faktor itu ia menjadi salah satu penyebab untuknya membangunkan aplikasi Naluri.

Matlamat utama Naluri adalah untuk membantu orang ramai dalam mengatasi risiko penyakit kronik melalui pendekatan dalam pelbagai bidang secara perilaku dan psikologi.

Dengan menggunakan kaedah terapi digital ia dapat memberikan bantuan khusus kepada pesakit dengan program berkualiti tinggi untuk mencegah, mengurus dan mengubati sebarang penyakit.

Dalam pada itu, Azran menegaskan, melalui aplikasi tersebut, semua orang boleh mendapat maklumat terus daripada pakar runding kesihatan berkaitan masalah dan serta pendekatan yang mereka harus ambil.

“Aplikasi ini menggabungkan pakar runding kesihatan daripada pelbagai bidang antaranya kardiologi, diabetes, psikologi, psikiatri, nutrisi, kecergasan dan lain-lain.

“Kami mengambil inisiatif menghimpunkan pakar-pakar daripada pelbagai bidang yang boleh membantu pengguna aplikasi ini,” tegasnya.

Tambahnya, dengan harga RM360 pihaknya menyediakan perkhidmatan profesional kesihatan selama setahun.

Ini bermakna, pengguna hanya perlu membayar RM30 sebulan untuk perkhidmatan tersebut.

Selain itu, pengguna juga dapat menjimatkan masa kerana boleh mendapat rundingan pelbagai masalah pesakit di satu platform sahaja.

Interaksi antara pesakit dan pakar boleh dilakukan secara bersama di aplikasi tersebut melalui ruangan khas yang telah dibangunkan di platform tersebut.

Mereka yang menggunakan aplikasi itu terlebih dahulu diminta untuk melakukan ujian saringan darah.

 

AZRAN menunjukkan aplikasi Naluri yang boleh dimuat turun ke dalam peranti pintar.

 

Ini penting bagi membolehkan data-data masalah pesakit seperti jumlah darah manis, kadar tekanan darah tinggi serta kadar kolestrol boleh dimuat naik di aplikasi itu bagi
membolehkan pakar melihat dan memantau keadaan pesakit.

“Melalui aplikasi ini juga, pakar dapat memantau sama ada pesakit mengambil ubat seperti diminta atau tidak.

“Pesakit akan mendapat notifikasi apabila tiba waktu ubat harus diambil dan dari situ pakar dapat melihat jumlah peratusan ubat yang diambil oleh pesakit,” kata Azran.

Dalam pada itu, melalui teknologi AI yang digunakan pakar juga dapat memantau pemakanan pesakit.

Pesakit hanya perlu memuat naik gambar makanan yang mereka ambil di aplikasi tersebut.

“Teknologi tersebut secara automatik akan membahagikan makanan itu kepada tiga warna iaitu hijau, kuning dan merah.

“Makanan sihat akan diberi warna hijau, kurang sihat kuning dan tidak sihat berwarna merah. Daripada situ, pakar dapat menilai peratusan makanan yang diambil pesakit sama ada sihat atau tidak.

“Pakar nutrisi kemudian boleh memberi khidmat nasihat jika makanan yang diambil itu tidak baik untuk kesihatan,” jelas Azran.

Dalam pada itu, Azran menjelaskan, ia dapat merapatkan jurang nisbah antara pesakit dan pakar runding untuk sesuatu masalah penyakit.

Jelasnya, di Malaysia dianggarkan hampir tujuh juta orang dewasa mengalami masalah mental yang menyebabkan kemurungan dan tekanan.

“Negara ini hanya mempunyai sekitar 220 pakar psikologi dan 400 psikiatrik dan jurang dengan pesakit terlalu besar.

“Melalui Naluri, kita dapat mengecilkan jurang itu yang mana satu pakar mampu memberi perkhidmatan kepada hampir 600 pesakit melalui teknologi yang dibangunkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI