TANJUNG MALIM – Kehilangan ibu bapa dan dua adik sekelip mata dalam kemalangan baru-baru ini menjadikan bulan puasa tahun ini berbeza bagi Attar Azim Syukran Jamil, 9, tanpa kehadiran insan tersayang.
Pelajar tahun tiga itu merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas di Kilometer 76.5, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berdekatan Kampung Pahi di Kuala Krai, Kelantan pada 2 Mac lalu.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, kenangan dikejutkan arwah bapa untuk bersahur selain berbuka dengan juadah enak disediakan arwah ibu kini hanya menjadi memori indah untuk diingati.
“Biasanya abah yang kejutkan Attar bangun sahur sebab dia mahu saya berpuasa. Attar rindu untuk berbuka bersama-sama. Attar rindu masakan mimi (ibu). Attar suka juadah ikan patin masak tempoyak dan ayam masak kicap.
“Selepas ini, Attar minta nenek masakkan, lagipun Attar suka laksa nenek sebab tidak pedas,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Felda Trolak Utara di sini semalam.

Menurut kanak-kanak itu, dia begitu merindui ahli keluarganya dan tidak pernah lupa mendoakan agar mereka berlima dapat bertemu di syurga.
Sementara itu, bapa saudara Attar, Nor Azam Ab. Hamid, 45, berkata, anak saudaranya masih belum bersekolah semalam kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan akibat kemalangan.
“Hari ini dia menjalani rawatan susulan di Klinik Kesihatan Trolak Selatan. Jika masih tidak okey, dia akan dirujuk ke Hospital Slim River. Setakat ini, Attar kuat dia tidak sebut pun mengenai kejadian kemalangan itu atau mengigau,” katanya.














