fbpx
John (kiri) dan Afiq kini dalam fasa perubahan ke arah lebih baik dan mahu mendekatkan diri dengan Allah ketika ditemui baru-baru ini.

‘Saya layan 70 lelaki seminggu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sanggup melakukan ritual khurafat seperti pemujaan, minyak dagu dan susuk sebagai ‘pelaris’ bagi mendapatkan pelanggan.

Itu tindakan yang dilakukan segelintir mak nyah, malah ada yang menggunakan khidmat bomoh Siam untuk melakukan jampi terhadap lelaki yang diminati bagi memastikan individu tersebut ‘melekat’ dengan mereka.

Mendedahkan perkara itu, seorang bekas mak nyah dikenali sebagai John, 40-an, berkata, dia terjebak dalam kegiatan songsang tersebut apabila dibawa seorang rakan ke sebuah lorong di Lembah Klang.

Menurut John, rakannya yang berusia dalam lingkungan 30-an mengambil kesempatan menjadi ibu ayam disebabkan perwatakannya yang lembut untuk menjual dirinya kepada lelaki hidung belang.

“Saya menjadi mak nyah pada usia muda iaitu 17 tahun selepas tamat sekolah. Segala keperluan seperti tempat tinggal, pakaian dan makan minum ditanggung.

“Dia (rakan) mengajar saya mengambil pil perancang bagi meningkat hormon wanita,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

John memberitahu, kisah hidupnya sebagai wanita jadian tidak berakhir di situ apabila dia diperkenalkan pula dengan seorang bomoh bagi mendapatkan minyak dagu atau pengasih. Minyak dagu itu digunakan bagi menarik lelaki mata keranjang yang meminati golongan transgender sepertinya.

“Hendak bersaing dengan 100 ‘wanita’ di lorong bukan mudah, jadi saya terpaksa berusaha agar kelihatan cantik bagi memikat lelaki. Saya melayan 70 pelanggan setiap minggu dengan caj RM100 hingga RM300 seorang,” katanya.

Tambah anak kedua daripada enam beradik itu, minyak pe­ngasih digunakan setiap hari sebelum dia mula bekerja pada pukul 7 malam hingga 2 pagi.

“Tiada pantang larang cuma jangan biarkan bekas dilangkah dan pecah. Barang itu akan ‘tamat tempoh’ dalam setahun de­ngan bayaran RM500,” ujarnya.
John kemudian bergerak secara solo selepas ibu ayam meninggal dunia pada 2014 sebelum diselamatkan tahun lepas.

“Antara nasihat yang berbekas di hati saya adalah ingat Allah jika kita mati di lorong orang tidak kenal tambahan pula dibuang keluarga. Saya kemudiannya ditempatkan di rumah perlindungan

“Memang perlu kekuatan (untuk berubah). Saya seperti hilang arah ingin menyebut bismillah pun sukar apatah lagi solat apabila ‘berdamping’ dengan perkara khurafat,” ujarnya.

Seorang lagi bekas mak nyah, Afik, 43, berkata, dia terjerumus dalam aktiviti songsang itu selepas tamat kerja tukang masak di sebuah negeri pantai timur.

Jelasnya, dia memiliki 50 pasangan dan menggunakan susuk belian untuk menarik lelaki.

“Saya guna foto lelaki yang diminati untuk dijampi bomoh Siam dengan bayaran RM600. Selain mahu cantik, saya mahu membuktikan mak nyah juga setanding wanita tulen,” katanya.

Jelas anak bongsu daripada dua beradik ini, susuk tersebut dipasang pada kening dan alur muka. Dia juga berjaya memenangi beberapa pertandingan ratu cantik mak nyah.

“Tiada siapa yang memaksa saya bergelar mak nyah. Saya ti­dsak boleh menipu naluri sendiri,” katanya.
Afik bagaimanapun mula berubah apabila diserang strok tiga tahun lalu sebelum bertukar menjadi lelaki sejati.

“Sepanjang saya menjalani rawatan, tiada siapa yang melawat termasuk pasangan saya dan membuatkan diri ini terfikir bahawa semua ini adalah balasan terhadap kejahatan yang dilakukan sebelum ini.

“Saya diberikan kesempatan menunaikan umrah dan mena­ngis sepuas-puasnya. Saya nekad mahu berubah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN