fbpx
Azmir (kanan) dan Roslan menunjukkan lubang yang digali penduduk untuk mencari emas di Pos Pantos, Mukim Jelai, Lipis baru-baru ini. – NORFARHIZA MOHD. ATAR

Kaut RM20,000 gali lubang emas Pos Pantos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Perkampungan Orang Asli Pos Pantos, Mukim Jelai, di sini, menjadi tumpuan sejak setahun lalu apabila sebahagian penduduk melakukan aktiviti mendulang emas bagi mendapatkan hasil bumi tersebut.

Tinjauan mendapati, terdapat lebih 10 lubang yang telah digali pendulang emas di kawasan ladang kelapa sawit dan getah di perkampungan itu.

Seorang penduduk, Edy, 20-an, berkata, dia terjebak mendulang emas selepas melihat rakan-rakannya memperoleh pulangan lumayan setiap kali menjualnya kepada peraih yang datang ke situ.

“Hasil emas boleh tingkat gaya hidup kami dan baik pulih kediaman kerana sebelum ini penduduk hanya bergantung kepada hasil hutan, menoreh getah dan sawit.

“Sejak ada emas, pendapatan kami sudah banyak mencecah ribuan ringgit. Kerja mendulang ha­nya dilakukan beberapa hari sebelum emas diproses dalam tempah dua minggu untuk dijual kepada peraih atau tauke yang dikenali,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Edy, mereka sedar risiko kematian dan lain-lain yang bakal dihadapi ketika menggali tanah, namun ia langsung tidak dapat menghalang mereka untuk mencari rezeki buat sementara waktu.

Difahamkan, timbunan emas berada dalam radius 10 daripada ratusan hektar kebun di perkampungan itu. Ia mula dikesan pada 2019 oleh pelombong luar negara.

Bagaimanapun, pelombong itu diminta keluar oleh penduduk dengan alasan ia mengganggu mata pencarian mereka yang bergantung kepada hasil getah dan sawit.

Ada dalam kalangan pendulang dikatakan mampu memperoleh pendapatan sehingga mencecah RM20,000.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pos Pantos, Azmir Abdullah berkata, lubang digali berdekatan anak sungai yang disyaki mengan­dungi logam tersebut di Kampung Nyentil.

“Semuanya dilakukan secara tradisional dengan teknik mendulang. Tanah digali dengan cangkul dan tangan.

“Orang berebut cari emas jenis kasar dan berketul dan berada di sekitar permatang sungai. Ia turut melekat pada batu yang mudah lerai,” katanya.

Beliau yang juga Tok Batin Kampung Nyentil berkata, pihak Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Kemajuan Orang Asli ada meminta penduduk supaya menghentikan aktiviti berbahaya itu.

“Saya ada beri amaran untuk saman atau lapor pihak berkuasa kepada orang luar yang masuk ke kampung jika mereka mencari emas.

“Tetapi sekarang, pemuda kampung sendiri yang melakukannya pada waktu malam. Bila kita tegur dan tegah, mereka berhenti sementara sebelum sambung balik,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Harong, Pos Pantos, Roslan Abdullah berkata, pihaknya se­ring kali menasihati penduduk agar menghentikan aktiviti menggali emas ini kerana ia membahayakan nyawa.

“Saya harap kejadian seorang remaja yang meninggal dunia akibat tertimbus tanah ketika sedang mendulang emas baru-baru ini dijadikan iktibar dan tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya.

Sebelum ini, timbunan emas di Pahang dilaporkan berada di kawasan Kechau di sini, hingga menjadi buruan pendulang emas untuk mendapatkan untung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN