TAHUN demi tahun, pelakon jelita Azira Shafinaz semakin mengorak langkah dalam dunia lakonan selepas memulakan langkah dalam bidang seni bersama kumpulan De Fam.
Semuanya boleh dikatakan serba ‘menjadi’ apabila wanita berusia 31 tahun itu dilihat bijak membawa diri dalam dunia seni yang sememangnya penuh dengan sepak terajang.
Apabila mengecapi kejayaan dan kian popular, pasti ada sahaja suara-suara sumbang melantun kepadanya, terutama yang mempertikai penampilan seksinya.
Meskipun pemilihan pakaian pemilik nama lengkap Azira Shafinaz Ramlan, 33, tidak begitu ‘terdedah’ seperti sesetengah selebriti lain, dia tetap dikecam.
Bagi Azira, segala komen netizen mengenai dirinya diterima dengan berlapang dada dan dia cuba untuk memperbaiki diri dari hari ke hari.
“Sudah semestinya saya belajar dan ambil yang positif dari apa yang netizen cakap. Mulut mereka saya tidak boleh tutup tapi, saya akan cuba untuk perbaiki.
“Setakat ini, alhamdulillah. Seksi saya bukanlah melampau. Pakaian saya tidak terlalu menonjol tapi saya akan pakai apa saya selesa dan bersesuaian,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
“Saya tidak rimas pun orang kritik. Saya rasa kita akan tegur sesama sendiri juga kalau ada salah silap,” jawabnya lagi.

Hubungan De Fam
Enggan berlama-lama dalam topik tersebut, Azira berkongsi pula mengenai hubungan baik dengan dua lagi ahli De Fam iaitu Cik Manggis dan Sophia Liana.
Katanya, apa sahaja yang dilakukan baik lakonan ataupun pengacaraan akan menerima sokongan padu daripada Manggis dan Sophia.
“Rasaya, dahulu semasa awal masuk industri bersama De Fam, saya memang tidak banyak kontroversi. Kalau ada pun kritikan membabitkan hal kecil.
“Kami berkawan sejak 2008 atau 2009 dan hubungan kami memang sudah akrab kerana kumpulan ini dibina sendiri bukan daripada aturan orang.
“Sophia dan Manggis bagi sokongan penuh buat saya menceburi bidang lakonan mahupun pengacaraan, sama seperti saya yang turut menyokong mereka. Kami sangat memahami sesama sendiri,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azira mengakui pernah berbeza pendapat dengan Sophia dan Manggis sejak menjalinkan persahabatan hampir dua dekad tetapi tidak pernah gaduh berpanjangan sehingga menjejaskan hubungan baik mereka bertiga.
“Dalam hubungan persahabatan pasti ada gaduh. Tipulah kalau tiada kerana masing-masing ada pendapat sendiri.
“De Fam pula tiada ketua jadi kami berhak melontarkan pendapat masing-masing. Apa input diberikan, kami cuba untuk dapatkan satu solusi.
“Gaduh berpanjangan tidak pernah lagilah tetapi mungkin boleh dikatakan perbezaan pendapat sehingga pernah tidak bercakap satu hari,” kongsinya.

Jadual kerjaya padat
Tolak tepi hal peribadi, Azira kini boleh dikatakan antara selebriti wanita yang tidak putus-putus menerima tawaran dalam cabang seni terutama lakonan.
Disebabkan itu, bulan Ramadan kelak Azira akan memberikan fokus lebih dalam kerjayanya lebih-lebih lagi De Fam akan melancarkan lagu raya pertama.
“Perancangan puasa setakat ini memang belum ada kerana saya akan bekerja bermula 8 Mac sehingga April kelak. Saya akan sibuk dengan penggambaran dan promosikan kerja.
“Saya akan fokus dalam penggambaran drama bersama Astro yang masih tidak boleh dedahkan mengenai naskhah tersebut.
“Raya kali ini juga istimewa kerana De Fam bakal melancarkan lagu raya pertama kami selain filem Sheriff lakonan saya turut akan ditayangkan pada raya keenam,” kongsinya teruja.
Ditanya mengapa memilih tahun ini untuk melancarkan single raya, pelantun lagu SuperGirls itu menjelaskan, mereka bertiga tidak sempat menyiapkan karya tersebut tahun lalu kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing.
“Sebenarnya, kami sudah siapkan lagu ini pada 2023 tetapi tidak sempat untuk keluarkan.
“Tahun ini kami usahakan untuk lancarkan raya ini dan kami juga sudah siapkan video muzik. Insya-Allah lagu tersebut bakal menemui peminat sebelum puasa,” ujarnya.
Sementara itu, anak jati Kuala Lumpur itu tidak melepaskan peluang berkongsi berita gembira berjaya menembusi pasaran luar negara setelah mengenggam trofi pada Asian Academy Creative Awards pada tahun lalu.
“Tahun lepas saya menang trofi Pelakon Wanita Terbaik untuk drama komedi di Asian Academy Creative Awards dan terus menerima banyak tawaran tahun ini.
“Kalau tiada halangan, saya akan bekerja dengan produksi luar dan perkara tersebut masih dalam perancangan.
“Memang impian saya untuk berlakon selain produksi Malaysia. Kalau ada rezeki di sana, mengapa tidak untuk cuba selagi boleh keluar dari zon selesa,” jelas

Muse kempen
Dalam perkembangan lain, Azira dipilih sebagai duta Rizman Ruzaini untuk Raya 2024 Couture Collection yang mengekalkan tintaan manik, perincian batuan Swarovski dan labuci yang mempesonakan.
Duo pereka fesyen popular itu melantik Azira kerana dia melambangkan wanita moden bercita rasa tinggi yang pastinya menjadikannya inspirasi buat ramai wanita di luar sana.
Azira teruja menjadi sebahagian kecil keluarga Rizman Ruzaini atas pelantikan sebagai duta kempen koleksi raya kali.
“Saya sangat teruja menjadi duta untuk kempen koleksi raya bersama jenama Rizman Ruzaini tahun ini. Sebelum ini saya terlibat dalam koleksi baju kahwin.
“Saya sudah kenal Rizman dan Ruzaini sudah lama iaitu bermula tahun 2013.
“Dari situ kami membina perhubungan baik sehingga ke hari ini.
“Lagi pun, apabila saya ke mana-mana acara, saya akan menggayakan baju Rizman Ruzaini yang sememangnya sesuai dengan gaya fesyen saya,” tutupnya.















