LONDON – Atlet olahraga lelaki Sweden, Armand ‘Mondo’ Duplantis yang bersaing dalam acara lompat galah mencipta kejutan apabila diiktiraf sebagai Olahragawan 2020 oleh Persekutuan Olahraga Dunia (WA) yang berlangsung secara atas talian kelmarin.
Meskipun tahun 2020 kebanyakan kejohanan olahraga dunia ditangguhkan, ia tidak menghalang Duplantis untuk memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali pada saingan musim ini.
Atlet berusia 21 tahun itu melepasi ketinggian 6.17 meter (m) pada Kejohanan Olahraga di Torun, Poland sebelum memperbaiki catatannya dengan rekod 6.18m di Glasgow, Scotland pada Februari lepas.
Lebih menarik, Duplantis yang juga pemenang pingat perak Kejohanan Olahraga Dunia 2019 tidak pernah tewas dalam semua 16 kejohanan olahraga yang disertai sepanjang tahun ini.
Kata Duplantis, arena olahraga tahun ini sangat berbeza dengan musim lepas memandangkan pandemik Covid-19 telah menjejaskan momentum semua atlet selain temasya utama, Sukan Olimpik 2020 turut ditangguhkan.
“Saya rasa 2020 adalah tahun yang sangat pelik kerana kami semua sudah mencapai tahap prestasi terbaik pada awal tahun ini tetapi selepas penularan Covid-19, momentum setiap atlet terbantut.
\
“Namun, saya gembira apa yang saya lakukan dengan memecahkan rekod dunia untuk acara lompat galah tetap mendapat pengiktirafan dan saya sangat berpuas hati,” katanya. – AGENSI