fbpx
SHASHA ABEDUL

Saya masih solo, tak ‘diikat’ mana-mana lelaki – Shasha Abedul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Shasha Abedul boleh dikatakan masih asing dalam kalangan kaki drama meskipun hadir dengan pakej lengkap sebagai pelakon, namun tidak dinafikan kelibatnya dalam industri seni berjaya mengumpul kelompok pemuja bakatnya tersendiri.

Dikurniakan raut menawan seiring personaliti menarik mudah sahaja mengundang soalan ramai orang yang ingin mengetahui siapa gerangan lelaki ketika ini sedang beraja dalam hati wanita itu.

Sering dilihat mesra dengan beberapa artis lelaki muda seperti Naim Daniel, itu sahaja sudah cukup utuh memancing netizen mencipta spekulasi dan berteka-teki tentang status hati gadis berambut ikal mayang itu.

Kerjaya dulu, baru cinta

Tidak mahu persoalan cinta lebih kehadapan berbanding karier seni, pelakon berusia 28 tahun itu enggan ambil pusing selain tidak mahu membuang masa memikirkan spekulasi yang tidak tahu hujung pangkalnya.

LAPAN tahun menjadi anak seni meskipun tidak begitu dikenali, Shasha bersyukur dikelilingi orang-orang yang tidak jemu bahkan sentiasa percaya dengan bakat seninya.

“Saya memang suka berkawan dengan semua orang termasuk lelaki, yang peliknya tiap kali saya rapat dengan mana-mana kawan lelaki, mesti orang ingat saya bercinta dengan individu tersebut.

“Sama macam dakwaan saya bercinta dengan Naim Daniel juga, padahal kami memang berkawan rapat selepas mula terlibat dalam drama dan banyak babak bersama. Tiada apa pun hubungan istimewa di antara kami.

“Mungkin ada segelintir pihak sahaja membuat spekulasi bukan-bukan. Sekarang ini, saya masih solo. Tiada ikatan hubungan dengan siapapun,” ujarnya tegas.

Jelas gadis kecil molek itu lagi, fokusnya yang paling utama buat masa ini adalah kerjaya dan memperbaiki diri sebaik mungkin sebagai pelakon bermutu dan mampu memberi impak kepada industri seni tanah air.

“Buat masa sekarang, letak tepi soal cinta, kerjaya yang paling utama, itu yang saya mahu fokus sebenar-benarnya. Saya tidak mahu mensia-siakan usia muda saya dengan perkara yang tidak penting.

“Lagi pula saya masuk industri dengan matlamat untuk menjadi pelakon yang bukan sekadar keluar satu naskhah dan hilang begitu sahaja tetapi ingin belajar dan terus memperbaiki lakonan dari segenap sudut.

“Banyak lagi hasrat yang belum saya capai dalam kerjaya, biarlah saya mekar mewangi mengecap kejayaan dalam karier baru fikir pasal cinta,” ujarnya panjang lebar.

Membiarkan soalan cinta bernoktah di situ, Shasha menzahirkan rasa gembira apabila jenama seninya kini makin dikenali dan dihargai deretan sutradara sekali gus membantu merealisasikan impian terpendam sebagai anak seni.

FOKUS kepada kerjaya, Shasha enggan ambil pusing mengenai perihal cinta malah yakin lelaki yang sesuai akan tiba indah pada waktunya nanti. – SHIDDIEQIIN ZON / INSTAGRAM SHASHA ABEDUL

Impian jadi kenyataan

Menyifatkan diri terus didakap tuah, gadis bermata bundar itu tidak menyangka hasrat dan impiannya untuk berlakon dengan aktres senior, Nabila Huda menjadi kenyataan apabila digandingkan melalui drama bersiri Project: Exit.

Shasha yang sememangnya pemuja bakat Nabila itu mengakui ingin menjadi persis aktres berkenaan yang berupaya membawakan pelbagai karakter dengan begitu versatil dan berkesan.

“Sebelum ini saya pernah diwawancara dan pernah ditanya soalan, kalau boleh nak berlakon dengan siapa? Saya cakap Nabila Huda. Waktu bergulir, tahu-tahu dapat. Alhamdulillah, impian saya jadi kenyataan.

“Saya tahu kata-kata saya ini mungkin akan kedengaran klise. Tapi, saya memang sangat menyanjungi Nabila Huda, bakat dan kredibiliti lakonannya selayaknya dipuji.

“Saya juga mahu jadi pelakon seperti Nabila. Sangat versatil dan boleh buat apa sahaja karakter. Dia adalah sumber inspirasi bagi saya, moga-moga suatu hari nanti saya akan berjaya mengikut jejak langkahnya,” tuturnya serius.

Ditanya pengalaman bekerjasama buat kali pertama dengan penyanyi rock tanah air, Amy Search, Shasha mengakui pada awalnya sangat gementar, namun mengambil kesempatan itu untuk menimba ilmu dan pengalaman selain melakukan sehabis baik.

SELAIN sibuk dengan penggambaran, Shasha juga sedang mencuba-cuba dalam cabang seni yang lainnya seperti nyanyian dan pengacaraan.

“Saya memang sangat gementar mahu berlakon satu set dengan Nabila. Bila kita dah duduk bersama, berbual dan sudah ada keserasian barulah saya okay.

“Di set dia sangatlah macam orang biasa. Saya tidaklah membayangkan dia seorang ‘diva’. Tapi, bila kita sudah meletakkan dia suatu tahap, kita anggap dia berada di atas kita. Tapi, dia sangat membumi dan membuatkan kita rasa selesa.

“Saya memang tidak melepaskan peluang yang ada, saya banyak bertanya dan menyedut ilmu serta pengalaman Nabila sebagai pelakon dan cara membawakan sesuatu karakter itu untuk kelihatan lebih menjadi, tidak kaku,” kongsinya panjang lebar.

Kini sedang sibuk di set penggambaran drama Project: Exit yang bakal ditayang menjelang hujung tahun nanti, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu sempat berkongsi tentang cabarannya dalam menjayakan watak digalas.

Cabaran watak

Menggalas watak Jannah yang penuh dengan liang-liuk penceritaan emosi dan seorang yang hampir depresi, Shasha mengakui lakonan kali ini benar-benar memberi kesan terhadap fizikal dan mentalnya.

“Berat, itu sahaja boleh saya cakap, pada awalnya memang agak susah nak cari titik keseimbangan watak dengan kehidupan sebenar saya. Karakter Jannah merupakan seorang yang penuh tekanan emosi sehingga hampir depresi.

“Kadang-kadang saya terlalu larut dalam karakter tersebut sehingga terbawa-bawa dalam diri. Bila saya duduk di rumah seorang diri, masa itulah watak Jannah seolah-olah cuba menguasai diri, mujurlah perkara tersebut tidak berpanjangan, saya sudah boleh tanganinya.

“Ini pertama kali watak berat yang pernah saya lakonkan, susah dan gementar tetapi sangat teruja dapat berlakon dan menimba pengalaman dengan barisan pelakon dan kru produksi yang hebat,” katanya.

Paling utama kata Shasha, peranan berat sarat teknik itu berjaya membentuk dirinya menjadi seorang pelakon yang lebih memahami kehendak dan penjiwaan watak seiring tuntutan skrip, bukannya sekadar berlakon tanpa meletakkan rasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN