KOTA BHARU – Beberapa pelanggan sebuah bengkel kereta didakwa ‘mengamuk’ dan memarahi pemiliknya selepas kenderaan mereka musnah dalam satu kebakaran di sebuah premis di Kampung Bukit Marak di sini, pada Khamis lalu.
Pemilik bengkel itu, Mohamad Azhar Awang Noh, 40, berkata, pelanggan terlibat menuntut ganti rugi daripadanya atas kejadian yang berlaku pada pukul 5.30 petang itu, namun dia tidak mampu untuk melunaskan tuntutan itu.
Menurutnya, dalam kebakaran itu, sebanyak sembilan buah kereta milik pelanggannya musnah dan dia mengalami kerugian lebih RM100,000.
“Saya sendiri melecur pada kaki kiri ketika cuba menyelamatkan kereta pelanggan. Saya hanya sempat menyelamatkan sebuah kereta pelanggan, manakala sembilan buah lagi musnah dijilat api.
“Saya tidak sempat untuk menyelamatkan kereta-kereta lain. Ketika itu, hanya saya dan anak lelaki yang berusia 16 tahun berada di bengkel,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mohamad Azhar memberitahu, dia terkilan kerana ada pelanggan yang tidak faham dengan kejadian yang berlaku.
Katanya, kenderaan pelanggan yang terbakar antaranya ialah Civic Ferio, Perodua Kelisa, Perodua Kancil, Proton Wira, Proton Savy dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Chery.
“Saya sewa bengkel itu lebih tiga tahun lalu. Difahamkan kebakaran berpunca daripada litar pintas apabila fius di luar premis meletup sebelum merebak ke tong yang mengandungi petrol.
“Dua buah motosikal milik anak dan saudara saya turut terbakar. Saya mohon pelanggan yang terlibat membuat tuntutan insurans masing-masing kerana saya tidak mampu membayar ganti rugi kepada mereka,” ujarnya.














