JEMPOL – Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut akibat dihempap pokok ketika beriadah di sebuah pusat rekreasi di Batu Kikir, di sini, kelmarin kerap bercerita mengenai ‘rumah baharu’ kepada datuk saudaranya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.17 tengah hari itu, Umar Din Ayden Aminuddin meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Datuk saudara mangsa, Amir Zulhairi Mohd. Yusof, 48, berkata, cucu saudaranya yang dipanggil Umar kerap bercerita bahawa dia akan mendapat rumah baharu setiap kali mereka bertemu.
“Dia (Umar) cakap Tok Teh adik nak dapat rumah baru. Saya ingat rumah baharu yang ibunya beli, kita pun mengiyakan kerana sejak dua minggu ni memang selalu Umar kata begitu kepada saya.
“Umar ini memang seorang yang ceria dan periang. Bila saya balik ke kampung, dia pasti ajak anak saya bermain dengannya termasuk mandi di kolam di rumah datuknya,” katanya ketika ditemui di Kampung Serting Tengah, di sini semalam.
Terdahulu, datuk Umar, Abd. Rahman Samad, 61, menerima kunjungan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol serta Balai Polis Batu Kikir.

Sementara itu, Amir Zulhairi berkata, datuk mangsa masih terkesan dengan kejadian menimpa satu-satunya cucu lelaki yang sudah dijaga sejak kecil apabila ibu kanak-kanak itu keluar bekerja.
“Disebabkan hubungan yang terlalu erat, datuk mangsa juga telah membina sendiri kolam renang yang dipelajari dari YouTube semasa perintah kawalan pergerakkan (PKP) untuk cucu-cucunya mandi kolam di rumah dengan pantauan,” ujarnya.
Tambah Amir, kelmarin adalah kali kedua Umar ke kawasan rekreasi itu dan ketika kejadian dia bersama bapa dan kakaknya yang berusia sembilan tahun.
Kakak mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! ke lokasi kejadian mendapati terdapat kawasan rekreasi itu ditutup Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan buat sementara waktu.
Kelmarin, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia akibat dihempap pokok di sebuah pusat rekreasi di Batu Kikir di sini.
Menurutnya, polis menerima makluman awal sekitar pukul 1.17 tengah hari dan hasil siasatan mendapati tiga beranak itu ke lokasi kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari.
Ujarnya, kejadian berlaku ketika mangsa mahu ke tempat bapanya di kawasan jeram sebelum sebatang pokok secara tiba-tiba tumbang menghempap mangsa.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.














