MALAM minggu itu, selepas selesai tugas harian, Mohd. Nizam Abdul Rahim, 27, mencapai sebuah buku mewarna yang diletakkan di sudut meja kerjanya lantas dibuka.
Tangan kanannya kemudian mencapai pensel warna di sisi sebelum mula mewarna pada salah satu halaman pada buku mewarna tersebut.
Ternyata dia mengecapi kepuasan apabila dapat mewarnakannya.
Tanpa segan silu, Mohd. Nizam yang bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah syarikat insurans di ibu kota itu memberitahu K2, dia sememangnya kerap menghabiskan masa lapangnya dengan aktiviti mewarna.
Baginya, ia umpama satu terapi yang menenangkan minda, selain menjadikan dia lebih fokus.
“Saya mula mewarna sewaktu pandemik. Memandangkan banyak masa dihabiskan di rumah, maka saya memesan banyak buku mewarna secara online dan mula mewarna.
“Lama-kelamaan, saya semakin menyukai aktiviti ini kerana ia menjadikan saya tenang dan turut meningkatkan fokus,” kongsinya.
Lelaki yang masih bujang itu menambah biarpun aktiviti mewarna kini sudah boleh dilakukan secara online atau menerusi gajet seperti tablet atau telefon pintar, dia masih memilih kaedah tradisional kerana mampu mengimbau kenangan sewaktu kecil.
“Saya rasa lebih seronok apabila dapat memegang pensel warna dan mewarna pada buku, sama seperti ketika saya masih kecil.
“Buku mewarna juga harganya tidak mahal dan saya anggapnya hobi yang tidak menelan belanja besar,” jelasnya.

Buku mewarna merupakan antara aktiviti popular kalangan kanak-kanak. Dalam proses membesar, hampir setiap kanak-kanak akan diperkenalkan dengan aktiviti mewarna yang sudah diketahui memberi banyak manfaat kepada kanak-kanak.
Antaranya seperti meningkatkan daya kreativiti, daya ingatan dan juga mengurangkan tekanan.
Apabila dewasa, aktiviti itu lazimnya sudah terhenti sedangkan masih ramai yang mahu menikmati aktiviti yang dilakukan sejak kecil itu.
Kini, dengan kepekaan beberapa individu telah menjadikan hobi itu masih boleh direalisasikan.
Menyoroti trend itu, kewujudan buku mewarna dewasa boleh dikatakan mula tercetus secara global sejak sekitar 2010-an dan dipelopori oleh seorang ilustrator dari Scotland, Johanna Basford.
Pada 2013, Basford telah memulakan buku mewarna untuk orang dewasa selepas menyedari terdapat permintaan terhadap buku sedemikian.
Basford menghasilkan buku mewarna dewasa pertamanya bertajuk Secret Garden yang telah merekodkan jualan sebanyak 21 juta naskhah di seluruh dunia.
Ia menjadikan Basford sebagai individu yang mengetuai penghasilan buku mewarna untuk orang dewasa.
Di Malaysia, seorang individu yang dilihat ‘menjuarai’ penghasilan buku mewarna untuk dewasa ialah penulis dan ilustrator kelahiran Raub, Pahang, Nur Emila Mohd. Yusof, 54.
Buku mewarna dewasa yang dihasilkan Emila itu dihasilkan dalam pelbagai tema seperti alam sekitar, pokok-pokok dan budaya Malaysia.

trend buku mewarna dewasa global yang dimulakan pada tahun 2013.
Sehingga kini, dia sudah pun menghasilkan enam buah buku mewarna yang turut dijual di beberapa buah negara seperti Indonesia, Vietnam dan juga Jerman.
Berkongsi cerita, Emila berkata kekurangan buku mewarna untuk orang dewasa di negara ini telah mendorongnya untuk menghasilkan buku mewarna untuk orang dewasa.
“Buku mewarna untuk kanak-kanak sememangnya sudah banyak dan mudah didapati, namun buku mewarna untuk orang dewasa tidak banyak.
“Ia kemudian mendorong saya untuk memulakannya di negara ini dan buku mewarna pertama saya bertajuk Mother Earth telah pun diterbitkan pada tahun 2015,” katanya ketika ditemui di galerinya di GMBB, Kuala Lumpur.
Selain membuat buku mewarna dewasa, Emila turut menghasilkan buku cerita kanak-kanak.-
Emila berkata, sebagai seorang ilustrator, dia mendapati aktiviti mewarna itu memberikan ketenangan.
Malah, setiap kali mewarna dan melakukan kerja-kerja ilustrasi sejak hampir 30 tahun lalu, Emila berkata dia melihatnya sebagai satu terapi minda.
“Setiap kali mewarna, saya berasa seolah-olah sedang dibawa ke satu dimensi atau dunia lain.
“Selain itu, ini sudah menjadi minat saya sejak kecil lagi dan apabila kita minat terhadap sesuatu itu, maka ia akan menjadikan kita seronok untuk menghabiskan masa selama berjam-jam melakukannya,” katanya yang
menghabiskan sekitar tujuh jam sehari untuk aktiviti mewarna dan menghasilkan ilustrasi.
Menyentuh mengenai pembuatan buku mewarna, jelas Emila, proses menghasilkan lakaran helaian mewarna itu boleh dibuat sama ada dengan melukis terus di atas kertas atau dengan membuat lakaran menggunakan peranti elektronik seperti ipad atau tablet.
Ia seterusnya dicetak dan disusun menjadi buku mewarna dan sedia dipasarkan.
Kongsi Emila, terdapat perbezaan antara buku mewarna bagi kanak-kanak dan juga buku mewarna orang dewasa.
“Biasanya, bentuk atau motif pada buku mewarna kanak-kanak lebih mudah untuk diwarnakan berbanding motif pada buku mewarna dewasa.
“Buku mewarna dewasa memilki bentuk atau garisan yang lebih kompleks dan lebih terperinci supaya kita boleh mengambil masa untuk mewarnakannya dengan perlahan-lahan dan secara berperingkat,” katanya.
Selain buku mewarna dihasilkan Emila, terdapat beberapa lagi ilustrator tempatan yang turut menghasilkan buku mewarna dewasa di pasaran.
Antaranya Nor Azhar Ishak dengan buku mewarna Under The Sea, M. Auffique Nur Thaquiff dan Sanusi Zulkefli dengan buku bertajuk ColorMY (Batik) serta Cufica yang menghasilkan buku bertajuk ColorMY (Arabesque).
Biarpun dengan kewujudan teknologi baharu seperti laman-laman web dan aplikasi pada telefon pintar yang membolehkan pengguna mewarna secara digital, Emila berkata, ia cukup berbeza dengan aktiviti mewarna pada kertas atau naskhah buku mewarna.
Hal ini kerana hobi tersebut mengingatkan tentang zaman kita membesar.
“Saya menganggap bahawa mewarna ini membawa kita ke zaman kanak-kanak yang cukup menyeronokkan,” katanya yang mengakui turut mewarna pada buku yang dihasilkannya sendiri.
Buku mewarna Emila dijual pada harga RM20 senaskhah.














