IPOH – Meraih kekayaan dalam tempoh singkat dan menjadi terkenal sehingga diangkat sebagai idola.
Itu impian segelintir golongan muda terutama wanita sehingga ada yang sanggup melabur puluhan ribu ringgit hasil simpanan untuk memulakan perniagaan dengan menjadi pengasas produk kosmetik.
Kewujudan pengilang peralatan asal (OEM) yang menawarkan perkhidmatan menghasilkan produk kecantikan dan kesihatan memberi peluang kepada orang ramai untuk bergelar founder segera.
Namun, ada dalam kalangan mereka yang tidak berjaya mengharungi cabaran sebagai pengasas disebabkan persaingan yang sengit selain kurang ilmu menguruskan perniagaan menyebabkan ia berkubur di tengah jalan.
Seorang bekas pengasas produk kosmetik dikenali sebagai Yusnani, 27, berkata, dia menceburkan diri dalam bidang kecantikan enam tahun lalu sewaktu menuntut di sebuah universiti tempatan.
“Saya membuat kerja sambilan sebagai ejen produk kecantikan. Saya tertarik untuk menjadi pengasas selepas melihat ada pemilik produk hidup mewah. Jadi saya mula mengumpul wang. Saya perlu melabur sekurang-kurang RM15,000.
“Saya berjaya menyimpan RM9,000, manakala selebihnya dipinjam daripada keluarga. Duit itu saya jadikan modal produk kosmetik pada 2019, namun tidak kekal lama,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurut Yusnani, produk keluarannya mendapat sambutan pada peringkat awal, namun hanya bertahan dua tahun disebabkan persaingan sengit.
“Saya guna pelbagai medium untuk mempromosi produk, namun pelanggan makin kurang. Apa yang saya sedar untung tidak banyak, popular pun tidak. Lama-kelamaan stok tersadai dalam gudang. Bidang ini bukan untuk saya dan tidak mudah seperti yang disangka,” katanya.
Situasi sama turut dihadapi Hanis, 28, yang memberitahu, dia gagal menjual produk makanan tambahan ekoran kekurangan ilmu berkaitan promosi dan persaingan sengit daripada rakan dalam bidang sama.
“Saya baru dua tahun bergelar pengasas produk, namun cukuplah setakat itu sahaja. Untuk kaut untung cecah puluhan ribu memang tidak terjangkau.
“Fokus saya sekarang untuk habiskan stok dengan tawaran diskaun 50 peratus,” katanya yang mengakui menghabiskan RM10,000 wang simpanan untuk memulakan perniagaan pada 2021.
“Hendak jadi pengasas memang mudah. Apatah lagi ada syarikat yang menawarkan produk, cuma sediakan wang sahaja. Ada yang kekal, namun jika nasib tidak baik jadi seperti saya ‘tutup kedai’,” katanya.
Bagi Suhaila, 35, dia meninggalkan bidang perguruan beberapa tahun lalu kerana pendapatan sebagai ejen kosmetik lumayan berbanding pekerjaan hakiki.
Oleh itu, wanita itu mengeluarkan modal RM14,000 untuk memulakan perniagaan.
“Pada mulanya memang seronok, tapi lama-kelamaan hasil jualan semakin merosot. Memang susah hendak kekalkan momentum perniagaan. Walaupun saya masih bertahan, namun stok susah nak habis.
“Kadangkala saya terpaksa menjual produk pada harga lebih rendah,” katanya.















