KANGAR – Cuaca panas di Perlis ketika ini membuatkan sungai-sungai dan hutan simpan termasuk Taman Eko Rimba Bukit Ayer, di sini, menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi-manda.
Lokasi rekreasi itu sesak luar biasa dengan pelancong dalam dan luar negeri sempena cuti sekolah terutama hujung minggu.
Seorang pengunjung, Muhammad Aidil Hazriq Halim, 24, berkata, dia yang berasal dari Arau, dekat sini, membawa saudara mara yang kebetulan pulang bercuti di Perlis.
“Kami seramai 10 orang termasuk yang tinggal di Pulau Pinang dan Terengganu datang mandi-manda selepas mereka pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina dan cuti sekolah.
“Biasanya pada musim kemarau atau musim angin timur, cuaca menjadi panas dan kering. Jadi tempat rekreasi seperti sungai menjadi pilihan penduduk untuk beriadah bersama keluarga.
“Selain Taman Eko Rimba Bukit Ayer, antara lokasi yang menjadi tumpuan sepanjang kemarau adalah Sungai Bukit Jernih dan Gua Kelam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Perlis mengalami musim angin timur bermula Disember hingga Mac setiap tahun dengan cuaca pada waktu siang mampu mencecah 37 darjah Celsius dan menurun drastik sehingga 25 darjah Celsius pada sebelah malam.
Seorang lagi pengunjung, Ahmad Radhi Rashid, 25, berkata, dia yang berasal dari Ayer Hitam, Kedah turut mengambil kesempatan untuk bercuti di Perlis.
“Kami memilih lokasi ini disebabkan suasana yang redup dan kurang panas berbanding bersiar-siar di lokasi lain selain mempunyai kawasan parkir yang luas,” katanya.














