BUAH lemba ini kalau dimakan akan mencetuskan rasa manis apabila kita menyusulinya dengan meminum air sungai atau air putih.
Walaupun tidaklah semanis gula putih, namun rasa manis itu masih terasa lantas menambahkan kesegaran air semula jadi di dalam hutan ini,” kata bekas komando tentera darat, Md. Jamal Mohamad, 71. Buah lemba itu seakan-akan putik bunga melur dengan kelopak berwarna putih.
Md. Jamal kemudian menghulurkan buah lemba yang telah dibersihkannya kepada penulis untuk dinikmati sekali gus menilai sejauh mana zat-zat alam semula jadi itu mampu memenuhi keperluan asas pengunjung hutan Bukit Gapis, Nyalas di Melaka. Bukit Gapis baru-baru ini diisytiharkan sebagai Gunung Melaka.
Apabila buah lemba itu digigit, putiknya terasa rangup dan tidak pahit. Penulis terus meneguk air kosong dengan perasaan teruja menguji kesahihan ilmu baharu yang dikongsikan.
Ternyata air tawar itu tiba-tiba terasa manis selagi ia belum ditelan. Bagi penulis, buah ini boleh dikatakan seperti gula stevia.

Apabila maklumat dicari pada telefon pintar, rupanya buah lemba ini sangat terkenal dalam kalangan botanis dengan dikenali sebagai Molineria latifolia iaitu daripada keluarga Amaryllidaceae.
Menurut pengkaji, buah lemba memberikan rasa manis dan tahap kemanisannya berkesan sangat lama pada lidah manusia. Pokok lemba ini turut dikenali sebagai pinang puyoh dan nyior lamber.
Kami bersama 25 pendaki lain kemudian meneruskan perjalanan dan berhenti di beberapa batang pokok dengan banir yang mampu meneduhkan beberapa orang di bawahnya. ‘Tuan komando’ itu kemudian mengambil sebatang kayu yang agak mampat untuk digunakan bagi mengetuk banir.
“Kalau sesat dalam hutan, ketuk banir pokok ini kuat-kuat guna kayu yang ada, kawan-kawan yang lain akan dapat dengar untuk mencari di mana kedudukan kita, ketuklah beberapa kali.
“Selain itu, kegunaan lain banir ini adalah untuk dijadikan dinding untuk berteduh atau berehat, jadi kita boleh mendirikan khemah dengan kedudukan banir di belakang bagi melindungi daripada ancaman termasuk haiwan liar,” jelasnya.
Bunyi ketukan yang dibuatnya kemudian bergema kuat di dalam hutan.
Setiap langkah di Bukit Gapis itu kian terisi dengan cabang ilmu alam semula jadi yang sebaiknya dikuasai tetamu hutan terutama kaki mendaki.

Berketinggian 480 meter pada paras laut, Bukit Gapis boleh dikategorikan sebagai ‘dara’ kerana masih belum mempunyai trek pendakian. Bagaimanapun, ‘tingkap baharu’ untuk menatap keindahan sebahagian bumi Hang Tuah itu semakin mendapat perhatian ramai sehingga baru-baru ini Bukit Gapis telah diisytiharkan sebagai Gunung Melaka oleh kerajaan negeri ini.
Selain Bukit Batu Lebah juga di Nyalas dengan ketinggian 450 meter dan Bukit Beruang, Ayer Keroh (116.7 meter), kini Melaka menjemput pencinta hutan untuk menerokai Bukit Gapis yang menghimpunkan 1,001 rahsia alam untuk dipelajari.
Pengisyiharan itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Datuk Seri Abd. Ghafar Atan dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Penutup sempena Program Hiking Bukit Gapis, Nyalas bersama beberapa agensi kerajaan pada 17 Oktober lalu.
“Oleh kerana ketinggian Bukit Gapis yang kita ukur hari ini adalah 480 meter, saya secara prarasminya dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan mengisytiharkan Bukit Gapis sebagai Gunung Melaka.

“Syarat untuk diiktiraf gunung adalah sesebuah bukit itu perlu melepasi ketinggian 457.2 meter, ia sudahpun melepasi ketinggian itu. Sebab itu Bukit Gapis kini boleh dikenali sebagai Gunung Melaka,” katanya.
Mengulas lanjut Abdul Ghaffar berkata, beliau akan bekerjasama dengan ketua masyarakat setempat untuk membangunkan kawasan itu sebagai destinasi rekreasi terbaharu selain daripada kawasan tumpuan pelancong di pusat bandar Melaka.
“Kita lihat di Melaka ini kesesakan pelancong lebih tertumpu di pusat bandar pada hujung minggu, jadi kita perlu alihkan kepadatan trafik di sana ke pinggir bandar seperti Nyalas ini.
“Bukit Gapis atau Gunung Melaka ini boleh dibangunkan sebagai destinasi pelancongan baharu Melaka dan saya serta semua ketua masyarakat di Dewan Undangan Negeri Asahan perlu rancakkan dulu aktiviti sebelum dapat bantuan daripada luar (Kerajaan Pusat),” katanya.
Sementara itu, antara peneroka awal Bukit Gapis, Samsuri Jumaat, 49, memberitahu, Bukit Gapis turut mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila pernah menjadi tempat perlindungan kaum wanita pada zaman penjajahan Jepun sekitar 1940-an.
“Air Bukit Gapis ini juga merupakan sumber utama penduduk kampung pada waktu itu,” katanya.

Sementara itu, dalam pendakian kami, anak sungai bukit tersebut masih dapat dilihat, malah menurut Md. Jamal air yang mengalir selamat untuk diminum.
Secara keseluruhan, pendakian ke puncak Bukit Gapis dari kawasan masuk iaitu ladang getah memakan masa antara satu jam setengah sehingga dua jam melalui permukaan bukit yang landai dengan kecerunan antara 20 hingga 45 darjah. Justeru, sesuai dijadikan trek latihan untuk pendaki-pendaki baharu.
Setiba di puncak, selain dihadiahkan pemandangan biru langit, pendaki juga dapat melihat bongkah batu penanda sempadan negeri antara Melaka dan Negeri Sembilan dengan ukiran angka 1901 yang didakwa diletakkan British ketika era penjajahannya.
“Bukit Gapis ini sangat sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan ekopelancongan dengan
kemudahan mendaki. Di atas bukit ini juga boleh diletakkan papan maklumat berkenaan sejarah Bukit Gapis,” kata Samsuri.
Jelasnya, walaupun masih belum dibuka secara rasmi sebagai trek pendakian, namun sehingga kini dia telah menerima permintaan beberapa kumpulan dari dalam negeri termasuk pasukan angkat berat Melaka.














