fbpx
FABIAN LOO

Orang Melayu senang terima saya – Fabian Loo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENANTIAN hampir sedekad untuk mendapat restu daripada keluarga bagi melibatkan diri dalam dunia seni nampaknya berbaloi buat Fabian Loo.

Baginya, selagi tidak meraih restu tersebut, hatinya tidak pernah tenang kerana merasakan hidupnya tidak mendapat keberkatan daripada orang terpenting dalam hidupnya.

Restu tersebut tertunda sekian lamanya kerana keyakinan keluarganya terhadap masa depan dunia hiburan agak tipis malah lebih yakin jika Fabian menceburkan diri dalam bidang lain.

Namun, selepas muncul dengan beberapa naskhah hebat seperti One Cent Thief, Merewang Keluarga Pak Awang dan Doh, dia berjaya membuktikan kehadirannya dalam dunia seni bukan sekadar mengisi masa lapang sebaliknya, berjaya meninggalkan dampak tersendiri kepada penonton.

Keluarga

“Cita-cita untuk menjadi pelakon sangat mendalam cuma pada awalnya ibu bapa kurang yakin bidang ini boleh memberi masa depan yang cerah dan terjamin untuk saya.

“Akhirnya, selepas 10 tahun terlibat aktif, mereka sudah mula menunjukkan sokongan dan memahami minat saya.

“Dia (orang tua) sudah beri kebenaran, asalkan saya tahu apa yang mahu dilakukan, elak perkara-perkara tidak sepatutnya dan pandai jaga diri sendiri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bercerita lanjut, pelakon berusia 33 tahun itu memberitahu, halangan keluarga tersebut disebabkan ibu bapanya sedikit skeptikal terhadap dunia seni lakonan.

SELEPAS 10 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, akhirnya Fabian mendapat ‘green light’ daripada orang tuanya berkecimpung dalam cabang seni tersebut. – FIRDAUS JOHARI

“Keluarga saya jenis ada prinsip. Bapa saya memiliki pemikiran ‘tradisional’, kurang menerima dan pemahaman mengenai dunia seni.

“Memang susah nak buat mereka faham sebab kalau boleh, mereka mahu saya jadi doktor memandangkan saya memiliki ijazah dalam bidang psikologi.

“Untuk yakinkan mereka memang ambil masa tetapi jiwa keras mereka ‘lebur’ perlahan-lahan,” tuturnya.

Boleh menarik nafas lega dan menutup buku mengenai penerimaan keluarga, dia yang pernah membintangi filem Fly By Night itu turut menzahirkan rasa syukur kerana kebanyakan watak dijayakan sebelum ini meraih respons positif daripada penonton.

Katanya, perkara tersebut diibaratkan tuah kerana tidak semua pelakon mampu meraihnya untuk setiap naskhah.

“Setakat ini, saya sangat bertuah dan syukur sebab semua drama lakonan saya berjaya serta mendapat tempat dalam hati penonton. Pastinya kemunculan saya yang paling diingati ramai ialah dalam One Cent Thief.

Melayu

“Kini, fokus saya adalah memberi sepenuh jiwa dalam semua tugasan yang diberikan walaupun watak kecil sekalipun,” ujarnya.

Ditanya penerimaan orang ramai terhadapanya dalam pasaran Melayu, Fabian menegaskan, kehadirannya bukan untuk memberi persaingan tetapi mahu membawa kepelbagaian.

“Pasaran Melayu sangat terbuka dengan kehadiran pelakon bukan Melayu.

“Saya hadir bukan untuk beri persaingan tetapi untuk memeriahkan dan membawa lebih banyak pilihan. Tiada istilah untuk berlawan atau berebut watak dengan pelakon bukan Melayu lain,” ujarnya.

Tolak ke tepi mengenai dakwaan ingin mencetuskan persaingan, Fabian, 34, memberitahu asas untuk memastikan nama terus dingati dan diberikan kepercayaan untuk watak besar adalah tahap kerajinan seseorang pelakon.

Tiada sebarang syarat diletakkan dalam mana-mana watak yang diberikan sebaliknya, dia hanya memberikan sepenuh jiwa.

Melakonkan watak Isaac dalam filem Rain Town, Fabian tidak sabar berkongsi naskhah tersebut bersama para peminat di negara ini.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk pegang mana-mana watak ditambah pula, saya suka hilangkan diri dalam setiap karakter tersebut. Itu ibarat percutian untuk minda saya.

“Saya adalah pelakon yang rajin untuk hadir ke sesi uji bakat. Bagi saya setiap pelakon yang mahu berjaya, itu adalah asas utama, tidak kira bangsa apapun.

“Bukan hanya mampu fasih berbahasa lain tetapi kalau ada uji bakat, pergilah. Sebab pelakon perlu rajin untuk buktikan kemampuan sendiri kerana setiap uji bakat adalah berbeza,” kongsinya.

Dalam pada itu, dia tidak menafikan untuk bertahan dalam industri drama dan perfileman bukan satu perkara mudah apatah lagi industri ini berdepan ketidaktentuan yang menduga.

“Tawaran berlakon seperti bermusim, adakalanya lebat seperti hujan dan sebaliknya.

“Namun, jika kita pandai uruskan masa, guna kelapangan untuk terus belajar memperbaiki diri, pasti boleh bertahan dan berjaya dalam industri ini,” kata anak kelahiran Selangor itu.

Diajukan soalan mengenai rupa parasnya yang dikatakan keanak-anakan atau ‘baby face’, dia tidak menafikan banyak menerima tanggapan sebegitu.

Kata Fabian, tujuannya melibatkan diri dalam dunia lakonan adalah untuk memberikan kepelbagaian bukannya memberi saingan kepada sesiapapun.

Fabian bagaimanapun sentiasa percaya wajah ‘baby face’ yang dimiliki sebenarnya anugerah yang mendatangkan rezeki dalam dunia lakonan.

“Saya pernah diminta untuk simpan misai untuk menampakkan wajah yang lebih matang tetapi tidak menjadi, malah wajah saya kelihatan semakin pelik pula.

“Adakalanya wajah sebegini mendatangkan manfaat sebab saya sentiasa diberi peluang untuk melakonkan watak yang lebih muda daripada usia sebenar dan itu satu kelebihan.

“Apa pun, saya tetap akan mencuba pelbagai watak dan percaya setiap karakter memiliki cabaran sendiri namun tetap perlu memilih yang terbaik,” kongsinya lagi.

Rain Town

Berkongsi mengenai filem Rain Town yang sudah menemui penonton pada 8 Februari lalu, Fabian bersyukur kerana berpeluang bergandingan dengan nama-nama besar seperti Chew Kin Wah dan Susan Lankester dalam naskhah tersebut.

Katanya, banyak ilmu yang dikutip daripada dua pelakon hebat itu sepanjang proses penggambaran filem arahan Tunku Mona Riza itu.

“Sebelum masuk set, saya terlalu banyak berfikir dan risau kerana ada yang menasihatkan agar saya berikan sehabis baik apabila bergandingan dengan pelakon bertaraf ‘otai’ seperti Chew dan Susan.

“Sepanjang tempoh penggambaran, saya rasa sangat selesa kerana mereka banyak beri ruang kepada pelakon baru untuk bermain dengan watak sendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, Fabian sempat menitipkan harapan agar orang ramai hadir ke pawagam memberi peluang kepada filem tersebut.

“Naskhah ini sangat hebat dan bukan mudah untuk seorang pengarah berbangsa Melayu menghasilkan filem berbahasa Kantonis.

“Buang skeptikal negatif terhadap karya tempatan dan hadirlah ke pawagam beri sokongan kepada kami. Rain Town pasti akan membuatkan kalian menangis,” katanya yang memegang watak Isaac dalam filem tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN