PETALING JAYA – Banyak madu yang dijual di pasaran negara ini didapati tiruan yang boleh mengundang pelbagai penyakit, antaranya berpunca daripada kandungan gula tinggi dalam madu tersebut.
Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati, sebanyak 45 daripada 769 sampel produk madu pelbagai jenama yang diambil sejak tahun 2016 dan sehingga kini tidak mematuhi standard ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985.
KKM dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat serta produk terlibat.
Katanya, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemantauan produk madu di pasaran bagi mengesan madu tiruan.
“Berdasarkan Peraturan 130, Peraturan-peraturan Makanan 1985, produk madu perlu mengikut standard ditetapkan.
“Antaranya mengandungi tidak kurang daripada 60 peratus gula penurunan, mempunyai kandungan sukrosa tidak lebih 10 peratus dan tidak boleh mengandungi hydroxymethylfurfural lebih daripada 80 mg/kg,” katanya semalam.
Menurut kenyataan itu, Seksyen 13(2)(e) memperuntukkan tiada seseorang boleh menyediakan atau menjual sebarang makanan yang diadukkan jika tidak mematuhi standard atau spesifikasi ditetapkan oleh mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta berkenaan.
KKM turut menegaskan jika individu itu melanggar peruntukan tersebut boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam kenyataan sama, KKM memaklumkan sedang menjalankan kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pertanian bagi menentukan ketulenan madu menggunakan teknik isotop sebagaimana disarankan standard makanan antarabangsa Codex.
Selain itu, KKM menawarkan Skim Pensijilan Makanan Autentik bertujuan memberikan pengiktirafan terhadap produk makanan yang disahkan autentik atau tulen dan memenuhi kriteria ditetapkan dalam skim pensijilan berkenaan.
“Ini termasuklah produk madu, daging, kopi dan sarang burung walit. Sehingga kini, tujuh syarikat memperoleh pensijilan autentik untuk produk madu daripada KKM,” ujarnya.
Di negara ini, terdapat dua madu popular iaitu madu lebah dan madu kelulut.
Sementara itu, pengusaha dan penternak lebah, Muhammad Sallim Khan Not Rahman berkata, hanya melalui ujian makmal, pengguna boleh mengetahui madu itu asli atau tiruan kerana sukar membezakannya.
Katanya, pengguna boleh menghantar sampel antaranya ke Institut Genom dan Vaksin Malaysia di Bangi, Selangor serendah RM20 sahaja.
“Digalakkan hantar 20 gram madu kepada Genom. Ia hanya uji sama ada madu itu asli atau palsu. Kita nak tahu madu asli atau palsu sekadar lihat atau deria rasa dan bau memang tak dapat beza.
“Ada orang cakap, manis sangat sebab campur gula dan itu tak benar sebab ada madu memang manis sangat,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau yang mengusahakan industri madu sejak 10 tahun lalu berkata, apabila madu itu terlalu cair, berbuih serta bergas, ia menunjukkan kandungan airnya tinggi.
“Apabila tinggi, berlaku fermentasi dan adanya yis yang menjadi tempat pembiakan bakteria. Kadar air yang tinggi tidak menepati piawaian ditetapkan.
“Piawaian madu lebah ini tidak lebih 20 peratus kandungan air, manakala madu kelulut pula 22 peratus,” ujarnya.
Kosmo! Pada Ogos 2016 pernah melaporkan kira-kira 80 peratus madu lebah yang dijual diadapati palsu.
Ia terbukti apabila 14 daripada 15 sampel madu yang dibeli wartawan Kosmo! di beberapa lokasi popular menjual madu didapati tidak tulen.
Antara risiko penyakit seperti diabetes, serangan jantung dan kanser hati yang berpunca daripada kandungan gula yang tinggi dalam madu berkenaan.














