BERMULA dengan angan-angan menyanyi di depan cermin ketika berusia sembilan tahun dan mengasah bakat nyanyian bersama kumpulan koir di gereja, selepas tiga dekad Usher Raymond VI atau dikenali sebagai Usher kini merupakan seorang penghibur digeruni dunia. Dia juga digelar ‘King of R&B’.
Mengimbas kembali sejarah perjalanan seni Usher, bakatnya dikesan menerusi sebuah program pencarian bakat pada usia 13 tahun sebelum dilamar label L.A Reid. Pada usia 16 tahun, dia debut dengan album sulungnya.
Tiga album yang diterbitkan telah terjual sehingga enam juta unit, bagaimanapun, album keempatnya, Confessions yang berjaya membuat namanya dikenali di seluruh dunia apabila terjual sebanyak 20 juta unit.
Populariti mendadak yang diterima Usher hadir dengan harga yang begitu mahal. Bahkan, setiap bait lirik dalam lagu-lagunya adalah pengalaman yang dilaluinya sendiri.

“Saya tidak mempunyai kehidupan peribadi. Itulah harga yang harus saya bayar apabila terjun dalam dunia seni. Dalam muzik R&B saya mencurahkan seluruh emosi dan pengalaman hidup. Privasi tidak ada untuk diri saya.
“Setiap hari saya menulis lagu tentang diri sendiri dan kadang-kala tidak terkejar dengan kontroversi. Saya cuba meneruskan kehidupan dan apa sahaja yang diperkatakan dalam media, muzik membenarkan saya untuk bercakap jujur dengan sesuatu perkara,” kongsi Usher.
Usher memperoleh satu lagi kejayaan yang luar biasa apabila label miliknya, Raymond Braun Media Group telah merekrut bintang baharu iaitu Justin Bieber sebagai artis pertamanya pada 2008.
Namun, ribut kehidupan Usher bermula selepas dia menceraikan isteri pertamanya, Tameka Foster pada 2009. Skandal demi skandal telah dibongkarkan bekas isterinya kepada umum termasuklah Usher didakwa pernah meniduri pengiring pengantin perkahwinan mereka.
Penyanyi kelahiran Dallas, Texas, Amerika Syarikat itu kemudiannya berkahwin dengan Grace Miguel pada 2015 sebelum bercerai tiga tahun kemudian.
Reputasi Usher tercalar lagi apabila dia disaman tiga orang yang menuduhnya menjadi punca mereka telah dijangkiti penyakit kelamin, herpes.
Penyanyi Laura Helm juga mendakwa dijangkiti penyakit yang sama daripada Usher, namun dia menarik balik saman pada 2019 selepas menemui jalan penyelesaian di luar mahkamah.
Super Bowl
Meskipun imej tercalar dan menjadi bahan cemuhan orang ramai, Usher membuktikan dia adalah seorang bintang yang tiada galang gantinya. Dia berjaya memulihkan imejnya dengan 100 persembahan pecah panggung di Las Vegas pada tahun lalu yang membawa keuntungan sebanyak AS $100 juta (RM477 juta).
Dia kemudiannya berjaya mencairkan ramai peminat wanita dengan terlibat sebagai model kempen pakaian dalam milik bintang realiti, Kim Kardashian iaitu Skims. Usher seterusnya berjaya memukau jutaan penonton seluruh dunia dengan persembahan hebatnya di Super Bowl pada Ahad lalu.
Bahkan, sehingga kini ramai peminat masih tidak dapat ‘move on’ daripada persembahannya. Masakan tidak, Usher, 46, tidak berkeseorangan mendendangkan 11 buah lagu di atas pentas, malah memberi kejutan dengan kemunculan deretan penyanyi terkenal seperti Alicia Keys, Will.i.am, H.E.R, Jermaine Dupri, Lil Jon dan Ludacris.
Berkongsi tentang persembahan di atas pentas Super Bowl, Usher mengatakan itu adalah sebuah persembahan yang cukup mencabar apabila dia terpaksa merangkumkan perjalanan karier seni selama 30 tahun dalam persembahan yang berdurasi 13 minit.
“Memang sangat mencabar kerana bukan mudah untuk membuat persembahan yang sempurna dalam tempoh 13 minit. Idea persembahan adalah mengimbas kembali masa silam, meraikan masa kini dan apa yang akan ditempuh pada masa depan.
“Saya tanya pada diri, apakah lagu yang membuat saya dikenali orang ramai? Lagu apakah yang sesuai untuk meraikan perjalanan kehidupan, emosi dan cinta yang ada dalam lagu saya. Jadi, itulah yang dipersembahkan untuk peminat,” kata Usher dalam satu temu bual.
Tidak hanya menyanyi, Usher yang terkenal sebagai seorang penghibur tampil dengan penari akrobatik, pakaian serba putih yang dibuka satu per satu seiring dengan perjalanan persembahan.

Apa yang menariknya, baju yang dipakai Usher telah ditatah dengan 340,000 kristal dan dipakai sambil menari menggunakan kasut roda.
“Persembahan Super Bowl perlu berbeza dan lain daripada yang lain supaya diingati. Ya, saya akui agak tertekan tetapi dengan pengalaman 100 persembahan di Las Vegas tahun lalu telah menyuntik elemen baharu dalam diri saya.
“Saya mahu menampilkan persembahan yang kualitinya sama di Las Vegas di atas pentas Super Bowl. Bukan mudah tetapi saya harus lakukannya supaya persembahan tersebut bukan sahaja memukau peminat tetapi mungkin juga penonton yang tidak pernah meminati atau menonton persembahan saya,” jelas Usher.
Tambah Usher, persembahannya di Super Bowl adalah satu pengiktirafan dan penghormatan buat penyanyi yang memperjuangkan genre R&B sepertinya.
“Ini adalah satu penghormatan buat diri saya, tetapi sebagai penyanyi saya tidak mahu dilabel hanya sebagai seorang penyanyi R&B sahaja atau dikategorikan dengan satu genre sahaja. Muzik itu luas dan saling berkait antara genre-genre yang lain,” luah Usher.
Album
Bijak mengambil peluang, sehari sebelum persembahannya di Super Bowl, penyanyi yang popular dengan lagu My Boo itu melancarkan album studio kesembilannya iaitu Coming Home.
“Untuk kekal bertahan dan mengeluarkan sebuah album baharu yang kekal relevan dan dalam masa sama mengekalkan identiti muzik, saya memerlukan dedikasi yang tinggi.
“Sepanjang perjalanan seni ini saya tidak berkeseorangan, sebaliknya peminat, rakan-rakan dan kru yang bekerja belakang tabir dengan kerja-kerja kreatif adalah sebahagian daripada apa yang saya kecapi hari ini,” kata Usher.
Ditebak apa yang membuatnya untuk terus menghasilkan album baharu, kata Usher, impian yang disimpan sejak kecil yang mendorongnya untuk terus berjuang meskipun ada kalanya dia berada di tangga paling bawah dalam kehidupannya.

“Saya masih ingat dan simpan impian itu sehingga ke hari ini. Saya percaya jika kita mempunyai impian dan berusaha keras tanpa mengenal erti putus asa, kita akan dapat apa sahaja yang diinginkan.
“Begitu juga dengan saya, kenapa saya terus menghasilkan muzik kerana dapat menyatukan banyak hati dan emosi.
“Mungkin muzik saya digunakan untuk hari bahagia seperti perkahwinan, mungkin muzik saya dapat memberi kegembiraan pada orang dan disebabkan itu saya menghasilkan muzik yang emosinya boleh diterima dalam pelbagai situasi dan emosi,” tutur Usher.
Sempena tiga dekad karier seni, Usher amat berharap dia akan terus diingati ramai pada masa depan.
“Apa saya yang belajar adalah usaha keras dan kesungguhan tidak akan mengkhianati kita” jelas Usher menggulung perbualan.















