MUDAH letih dan kerap muntah, itulah yang sering dirasai oleh seorang ibu muda dari Tanah Merah, Kelantan.
Setelah mendapatkan rawatan di hospital, barulah wanita berusia 32 tahun itu mengetahui rupa-rupanya dirinya menghidap kanser hati tahap empat.
Menurutnya, kehidupannya juga banyak di atas kerusi roda kerana tidak boleh bergerak.
“Tidur juga kini di atas kerusi roda kerana akan mengalami sesak nafas yang teruk sekiranya baring, malah pergerakan juga terbatas apabila tidak dapat berjalan kerana kaki bengkak.
“Saya tidak menyangka penyakit ini terus berada pada tahap empat,” katanya.
Itulah kisah pilu mengenai Rohaida Abdullah yang pernah dilaporkan Kosmo! sebelum ini setelah dia disahkan menghidap kanser hati tahap empat.
Pada November lalu pula, vokalis kumpulan Jinbara, Tia dilaporkan meninggal dunia kerana kanser hati.
Kanser hati kini merupakan kanser kelima paling lazim di Malaysia dan terdapat peningkatan trend global kematian akibatnya.
Hati ialah satu organ terletak pada bahagian kanan atas abdomen dan di bawah tulang rusuk kanan. Hati penting dengan berfungsi memastikan badan bebas daripada toksin.
Kanser hati berlaku apabila sel abnormal di dalam hati mula membahagi dan membesar secara tidak terkawal.
Melihat signifikan kanser hati ini, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UKM) dengan kerjasama Akademi Perubatan Malaysia (AMM) telah mengambil inisiatif menganjurkan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 baru-baru ini. Hari Kanser Sedunia disambut setiap 4 Februari.

Program bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kanser hati itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Menurut Institut Kanser Negara, kanser hati sering kali tidak menunjukkan apa-apa gejala pada peringkat awal. Bagaimanapun, pesakit mungkin alami salah satu tanda antaranya rasa sakit pada bahagian kanan perut, perut kembung, hilang selera makan, letih, muntah-muntah dan jaundis (kuning di bahagian mata dan kulit).
Terdapat dua jenis kanser hati iaitu kanser hati primer iaitu kanser bermula dari organ hati sendiri dan kanser hati sekunder iaitu kanser hati yang merebak daripada kanser lain seperti kanser payudara, perut dan usus.
Mengulas lanjut, pakar Gastroenterologi dan Hepatologi di Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khairul Najmi Muhammad Nawawi menjelaskan, kanser hati menjadi ‘pembunuh senyap’ memandangkan tiada gejala khusus yang dialami pesakit pada peringkat awal.
Menurutnya, kebanyakan pesakit tidak menyedari, kerana gejala kanser hati mungkin tiada pada diri mereka.
“Tetapi apabila simptom itu sudah ada, kanser hati yang mereka alami sudah berada pada tahap agak teruk.
“Boleh dikatakan apabila kanser hati dikesan ia sudah berada pada tahap tiga dan empat,” katanya.
Dr. Khairul Najmi memberitahu, jika ada simptom, kebiasaannya simptom-simptom kanser hati termasuklah rasa lemah atau letih, hilang selera makan, susut berat badan dan lain-lain lagi.
Mengenai faktor risiko pula, jelasnya, faktor risiko kepada kanser hati ini adalah disebabkan hati berparut atau dalam istilah perubatan, sirosis hati.
“Punca kepada sirosis hati ini antaranya disebabkan hepatitis B dan C dan gejalanya adalah jaundis, mudah berdarah, perut busung, kaki bengkak dan muntah berdarah,” terangnya.
Tambahnya, hepatitis B dan C ini hanya boleh dikesan dengan melakukan ujian darah.
Sementara itu, faktor risiko lain yang membawa kepada kanser hati adalah disebabkan oleh penyakit hati berlemak.
Peningkatan kadar obesiti di kalangan masyarakat negara ini juga boleh menjadi sesuatu yang membimbangkan.
Hati berlemak ini mungkin akan menjadi punca utama kepada masalah kanser hati tidak lama lagi jika tidak ada kesedaran untuk mengatasinya.
Mengulas akan hal tersebut, Dr. Khairul Najmi berkata, amalan gaya hidup tidak sihat menjadi punca kepada berat badan berlebihan atau obesiti kalangan masyarakat di negara ini.
“Obesiti ini sebenarnya boleh membawa kepada masalah hati berlemak dan seterusnya menjadi faktor risiko kepada kanser hati.
“Sel-sel lemak akan menyebabkan berlakunya keradangan hati dan apabila ia berlarutan untuk satu tempoh masa ia juga akan menyebabkan parut pada hati (sirosis) dan mengakibatkan kanser hati,” terangnya.
Berbanding kanser-kanser lain, perkembangan kanser hati ini tidaklah terlalu drastik.
Dr. Khairul Najmi menjelaskan, disebabkan perkembangannya yang perlahan itu membolehkan sesuatu boleh dilakukan untuk mengawalnya.
“Untuk tahap satu dan dua kita akan memberikan rawatan dengan sasaran untuk pesakit sembuh dan kita juga perlu mengawalnya.
“Kebarangkalian untuk sembuh itu ada dan kita akan terus kawalnya, jika tidak dikawal kebarangkalian untuk kanser ini ada balik tetap ada.
“Bagi tahap agak serius, walaupun kita tidak dapat untuk menyembuhkannya tetapi ia masih boleh dikawal, contohnya kita jangan bagi kanser itu besar.
“Sebenarnya rawatan untuk kanser hati ini melibatkan pelbagai disiplin dan pelbagai pasukan yang terlibat termasuk pasukan pakar bedah dan radiologi.
“Jika sel kanser itu masih kecil, kita boleh bedah iaitu potong dan membuangnya, begitu juga jika hati telah keras kita mungkin boleh lakukan pemindahan hati dan ada lagi rawatan lain untuk mengawalnya,” terangnya.
Selain itu, kanser hati juga boleh dirawat melalui rawatan onkologi.
Pakar Klinikal Onkologi, Hospital Canselori Tuanku Muhriz UKM, Dr. Khairiyah Sidek berkata, rawatan ini diberikan apabila rawatan seperti pembedahan dan lain-lain tidak lagi sesuai untuk pesakit mengawal kanser.
“Jadi, rawatan onkologi terbahagi kepada rawatan sistemik iaitu ubat ubatan dan juga rawatan setempat iaitu radioterapi, namun ia jarang digunakan.
“Rawatan ubat-ubatan yang selalunya diberikan adalah sejenis terapi disasarkan atau imunoterapi,” jelasnya.














