LIPIS – Duduk di atas pokok setinggi lebih 4 meter selama dua hari bagi memastikan talian telefon tidak terputus dengan pasukan penyelamat sebelum bantuan tiba untuk membawa keluar jenazah pendaki.
Itu cabaran dihadapi malim gunung, Nazaruddin Samat, 54, dalam berhadapan situasi sukar ekoran kematian Zahalita Othman, 52, ketika pendakian Gunung Reskit di Kuala Tahan, Jerantut pada 6 Februari lalu.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, seramai 10 pendaki termasuk Nazaruddin melalui detik yang mencemaskan ketika berhadapan situasi sukar apabila jenazah wanita tersebut hanya berjaya diturunkan dari gunung setinggi 1,666 meter itu selepas dua hari.
Nazaruddin berkata, suasana pendakian yang ceria berubah menjadi sedih dan cemas apabila rakan mangsa buat pertama kali berdepan situasi kematian kawan mereka, malah jenazahnya tidak dapat diturunkan segera kerana cuaca buruk.
“Sebaik sahaja mangsa meninggal dunia, saya bersama kumpulan pendaki menguruskan jenazah dengan membalutnya menggunakan beg tidur dan meletakkannya di dalam khemah.
“Oleh kerana kawasan kem tidak ada talian telefon, jadi laporan yang dibuat agak lewat sebab saya perlu mendaki ke Gunung Tangga 15 yang mengambil masa lebih dua jam untuk sampai.
“Apabila dapat berhubung dan memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang kejadian itu, saya perlu tunggu sehingga pukul 5 petang (pada hari kejadian) sebab kalau saya segera turun semula ke Gunung Reskit, kami akan terputus hubungan,” katanya selepas tiba di Taman Negara Relau, Merapoh dekat sini kelmarin.

Menurutnya, sewaktu sampai semula di Gunung Reskit, dia cuba mencari liputan telefon dengan memanjat pokok di sekitar kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan sewaktu saya cuba panjat pokok, kebetulan ada dapat talian telefon. Jadi selama dua hari itulah saya duduk atas pokok untuk pastikan maklumat bantuan sampai.
“Saya hanya turun apabila mahu solat, makan dan buang air.
“Saya juga bertanggungjawab untuk menenangkan baki pendaki lain dan meminta mereka menjaga jenazah dengan baik kerana kawasan itu agak panas dan sempit,” ujarnya.
Katanya, apabila masuk hari ketiga operasi, dia berpesan kepada pasukan penyelamat untuk bergerak seawal mungkin kerana kabus kebiasaannya akan mula naik sejurus matahari naik.
“Saya percaya pasukan penyelamat sudah berusaha sehabis baik untuk sampai ke Gunung Reskit bagi membawa keluar jenazah, namun keadaan cuaca buruk.
“Saya sendiri melihat kabus tebal kerana hujan turun di sebelah malam,” katanya.

Nazaruddin yang berpengalaman selama lebih 15 tahun sebagai malim gunung memberitahu, kejadian itu adalah kes keenam pendaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Tahan.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan, selepas dua hari berusaha, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akhirnya berjaya membawa turun jenazah Zahalita yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika mendaki Gunung Reskit.
Jasad Allahyarham dikeluarkan dari kawasan hutan menggunakan helikopter MI-171 Unit Udara milik JBPM dan kemudian diterbangkan ke Lipis sebelum tiba di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford pada pukul 9 pagi pada Khamis lalu. -KOSMO! ONLINE














