Saya ada satu persoalan. Ketika saya sedang membaca al-Quran, datang sekumpulan jemaah Muslim yang berjalan di hadapan saya dan memberi salam. Persoalannya, adakah saya boleh menghentikan bacaan al-Quran dan menjawab salam itu atau meneruskan bacaan?
Jawapan: Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai pedoman kepada umat manusia secara keseluruhannya.
Kitab itu merupakan petunjuk serta rahmat bagi manusia yang beriman dan beramal dengannya. Oleh yang demikian, antara hal yang perlu diambil perhatian adalah adab-adab ketika berinteraksi dengan al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT: “Apabila dibacakan al-Quran dengarlah dan diamlah semoga kalian diberikan rahmat.” (Surah al-A’raf : 204)
Al-Tabari menjelaskan ayat ini sebagai peringatan dan suruhan Allah SWT kepada orang yang beriman dengan kitab-Nya iaitu ketika mana dibacakan ayat al-Quran kepada golongan mukmin, maka hendaklah mereka mendiamkan diri (senyap) dan mendengar lantunan bacaan sebagai tanda mengagungkan, memuliakan serta memahami isi dan makna ayat yang dibaca.
Ibnu Kathir menjelaskan bahawa seseorang itu hendaklah menjawab salam dengan ucapan lebih baik atau dia menjawab salam tersebut dengan ucapan sama dengannya.
Seperti yang disebutkan oleh al-Ruyani dalam kitabnya; apabila seseorang itu menerima ucapan salam, maka dia diwajibkan (fardu ain) untuk menjawab salam tersebut jika ucapan itu khusus ditujukan kepadanya.
Bahkan, dia disunatkan untuk membalas salam itu dengan ucapan yang lebih baik jika individu yang memberi salam beragama Islam.
Manakala, jika seseorang itu menerima ucapan salam ketika situasi ia berada dalam kumpulan jemaah, maka kewajipan menjawab salam di sini dalam kategori fardu kifayah iaitu cukup sebahagian daripada mereka yang menjawabnya.
Namun, jika tiada seorang pun yang menjawab salam tersebut, maka kewajipan tersebut tidak tergugur, bahkan berdosa jika ditinggalkan dengan sengaja.
Hukumnya berdasarkan beberapa situasi; sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam keadaan sedang berjalan, lalu ia melintasi sekumpulan manusia.
Justeru, ketika itu dia disunatkan untuk memutuskan bacaan dan memberi salam kepada mereka sebelum ia menyambung kembali bacaannya.
Jika dia ingin menyambung semula bacaannya, maka yang terbaik adalah apabila bacaannya dimulai dengan lafaz al-istia’zah (auzubillahiminasyaitanirrajim).
Sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam posisi duduk lalu terdapat sekumpulan manusia melintasi dan memberi salam kepadanya, maka menurut Imam Abu al-Hassan al-Wahidi lebih utama meninggalkan memberi salam kepada orang yang membaca al-Quran. Ini kerana, ia sedang disibukkan dengan bacaannya dan memadai baginya menjawab salam secara isyarat sahaja.
Kesimpulannya, seseorang itu diwajibkan menjawab salam meskipun dalam keadaan sedang membaca al-Quran.
Bahkan, wajib ia memberhentikan bacaan pada ketika itu. Keadaan sekiranya ucapan salam itu khusus diberikan kepada dirinya.
Namun, jika ia berada dalam sekumpulan kelompok, maka memadai jika ada salah seorang di antara mereka yang menjawab salam tersebut dan tergugur kefarduan menjawab salam ke atas yang lain.














