fbpx
WAKIL Canon memberi taklimat berkaitan fotografi burung kepada para peserta.

Usaha pelihara burung pesisir pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMULIHARAAN burung merupakan satu usaha yang membantu menjaga habitat dan kelangsungan haiwan itu dalam ekosistem hidupan liar.

Pada masa sama, usaha itu membantu mempertahankan beberapa spesies burung yang diancam kepupusan susulan kemusnahan habitat serta pemburuan haram.

Sehubungan itu, sempena Hari Tanah Lembap Sedunia, Canon Marketing Malaysia (Canon) bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Projek Burung Pesisir

Pantai Semenanjung Malaysia (SPMP) menganjurkan siri aktiviti kesedaran pemuliharaan burung di Sungai Tembus, Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurut Ketua Cawangan Pulau Pinang Canon, Daren Tan, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan burung pesisir pantai dan habitatnya.

“Program ini juga memberi penekanan terhadap hubungan kompleks antara spesies burung dan kawasan tanah lembap yang menjadi habitatnya. Ia selari dengan matlamat Hari Tanah Lembap Sedunia.

“Berpegang kepada falsafah korporat ‘Kyosei’ yang menekankan idea masyarakat harmoni demi kebaikan sejagat, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan strategik.

“Kerjasama ini penting dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem ini bagi memastikan ia kekal mampan,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tambahnya, acara itu merupakan salah satu inisiatif pemuliharaan berterusan Canon di Sungai Tembus yang telah diiktiraf sebagai Kawasan Biodiversiti Utama.

Pada 2023, syarikat itu telah menanam 200 pokok bakau di Sungai Tembus bagi usaha pemuliharaan hutan dara dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan ekologi.

Katanya lagi, sepanjang program tersebut, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk memerhati burung dengan menaiki bot di Sungai Tembus.

Dalam aktiviti itu, pengunjung disediakan dengan kamera Canon untuk melihat burung sambil diberikan taklimat mengenai burung pesisir pantai dan fotografi.

Turut diadakan adalah demonstrasi istimewa mengenai proses menanda burung menggunakan cincin khas.

Pada kemuncak acara itu diadakan pelancaran laman sesawang mikro khusus untuk burung pesisir pantai di Malaysia.

Daren (kiri) bersama para peserta dibawa meninjau burung pesisir pantai di Sungai Tembus, Pulau Pinang baru-baru ini.

Canon telah menaja pembangunan laman sesawang mikro tersebut yang diwujudkan oleh SPMP iaitu sebuah unit penyelidikan bebas bagi menumpukan kepada usaha pemuliharaan burung pesisir pantai.

Platform itu menyediakan maklumat komprehensif mengenai lebih 70 spesies burung pesisir pantai serta lokasi spesifik untuk memerhati burung di Malaysia.

Selain itu, ia menyediakan ruangan khusus yang menampilkan pengalaman para pemerhati burung menggunakan kamera Canon, serta tip dan panduan mengenai fotografi.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri Sundarajoo Somu memberitahu, pihaknya amat menghargai dan menyokong aktiviti pemuliharaan burung terutama di Sungai Tembus.

“Tanah Lembap Penaga bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, malah menawarkan peluang unik kepada para pengunjung untuk menikmati keindahan ekosistem alam semula jadi.

“Acara ini juga selari dengan misi MBSP dalam menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” ujarnya.

Tambahnya, SDG menjadi kompas kepada MBSP dan pihaknya telah mengambil pelbagai langkah penting bagi menggalakkan pemuliharaan alam sekitar.

Jelasnya, pihaknya mengamalkan amalan mampan di bandar raya itu termasuk mengurangkan kadar pelepasan karbon per kapita dan menggalakkan aktiviti penanaman pokok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN