PERTUNJUKAN fesyen memainkan peranan yang penting dalam industri fesyen global. Ia memberikan sesebuah label fesyen itu peluang luas untuk menyampaikan konsep, identiti dan visi koleksi rekaan untuk musim akan datang.
Sekumpulan pelajar jurusan fesyen dari sebuah universiti swasta di Selangor teruja apabila diberi peluang untuk mempamerkan busana rekaan mereka di pentas peragaan antarabangsa di Thailand baru-baru ini.
Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Teknologi Reka Bentuk Fesyen Universiti Taylor’s, Subang Jaya menyerlah apabila memperagakan rekaan mereka di pertunjukan fesyen paling berprestij di Asia Tenggara, Thailand Fashion Week (TFW) Spring-Summer 2024 yang berlangsung di Bangkok pada November lalu.
Sebanyak 24 rekaan bertemakan avant-garde dipertontonkan kepada orang ramai dan ia juga merupakan sebahagian usaha pihak universiti dalam mendedahkan para pelajar dengan pentas peragaan antarabangsa.
Pengarah Program Sarjana Muda Teknologi Reka Bentuk Fesyen Universiti Taylor’s, Maria Sandra Wijaya berkata, pertunjukan fesyen itu mempamerkan pengaruh pelbagai budaya dalam menghasilkan sesuatu yang memukau penonton.
“Rekaan yang dihasilkan adalah gabungan daripada rekaan moden dan inovatif yang seterusnya diterjemahkan secara sofistikated kepada penonton.
“Ia juga menonjolkan pemahaman yang mendalam tentang trend fesyen kontemporari.
“Menerusi pertunjukan fesyen ini juga, kami bukan sahaja mempamerkan bakat pelajar, tetapi juga menekankan komitmen universiti untuk memupuk generasi peneraju fesyen yang mampu melibatkan diri dengan industri dan meluaskan perspektif mereka tentang senario fesyen global,” katanya.
Tambah Maria lagi, memandangkan TFW terkenal sebagai platform global untuk memupuk bakat baharu fesyen, Universiti Taylor’s turut berbesar hati menjadi sebahagian daripada acara itu yang mempamerkan kebolehan menyatukan kreativiti dengan kecekapan teknikal dalam bidang reka bentuk fesyen.

Antara pelajar Taylor’s terlibat ialah Liu Peiyi yang menampilkan busana bertajuk Xun Pu diinspirasikan daripada sebuah kampung di Fujian, China, Kampung Xunpu.
Memandangkan cengkerang tiram merupakan antara bahan utama penghasilan dinding kediaman penduduk di kampung tersebut, elemen itu diambil dan diterjemahkan dalam bentuk busana yang dihasilkan Peiyi.
Bagi koleksi Embrace dihasilkan Mutiara Dina Sabrina Dzulhafidz pula, ia diinspirasikan daripada karakter ikan duyung yang menjadi simbol kebebasan dan eksplorasi.
Jelas Mutiara, dia mahu setiap wanita untuk sentiasa berasa bangga untuk menonjolkan sisi kewanitaan mereka menerusi penggunaan pelbagai rona merah jambu pada busananya.
Seorang lagi pelajar iaitu Steffi menerusi rekaan bertajuk Maverick pula mengambil elemen Gothic Punk pada busana yang dihasilkan dengan rona seperti merah dan hitam.
Dia turut menggunakan teknik tiga lapisan fabrik bagi menghasilkan tekstur yang unik pada pakaiannya.
“Saya teruja apabila diberi peluang mempamerkan koleksi saya untuk pertunjukan fesyen ini.
“Pengalaman ini mengembangkan lagi minat saya dalam dunia rekaan fesyen dan membuka ruang untuk pelbagai kemungkinan lain bukan sahaja kepada peminat fesyen tempatan tetapi juga antarabangsa,” kongsinya.














