fbpx
SAPIAH (kiri) bersama Nursuhaila (tengah) di rumah mereka di Taman Mahsuri, Padang Serai, Kulim baru-baru ini. – AZAHAR HASHIM.

Pesakit kanser tulang mahu sembuh untuk bantu keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Seorang pesakit kan­ser tulang berhasrat untuk cepat sembuh kerana mahu kembali bekerja dan me­nyambung pelajaran bagi membantu meri­ngankan bebanan keluar­ganya.

Nursuhaila Mohd. Sabri, 26, berkata, dia sebelum ini bekerja di bahagian perakaunan di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur terpaksa berhenti kerja kerana menghidap penyakit itu.

Bercerita lanjut, bekas pelajar Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak dalam jurusan perakaunan itu berkata, dia tidak menyangka rasa sakit kepala serta penglihatannya nampak objek bertindih yang dialaminya sebelum ini petanda dia menghidap kan­ser tulang Kordoma.

Ujarnya, pada mulanya dia berasakan perubahan itu disebabkan masalah rabun jauh dan silau yang dialaminya sebelum itu.
Katanya, penyakitnya itu hanya diketahui awal tahun lalu selepas menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Kulim di sini.

“Selepas mendapat keputusan MRI setelah sebulan be­kerja, saya mengambil keputusan untuk berhenti dan pulang ke kampung,” katanya ketika di rumah­nya di Padang Serai di sini semalam.
Menurutnya, pada Jun tahun lalu, dia menjalani pembedahan pada saluran hidung di Hospital Pulau Pinang untuk mengambil sampel tisu kanser itu.

Kesan daripada pembedahan itu katanya, dia mengalami masalah peti suara serta percakapannya tidak jelas.

“Sekarang saya cepat letih dan perlu mengunakan kerusi roda,” ujarnya.

Katanya lagi, dia kini bergantung hidup pada ibunya, Sapiah Zainun, 56, untuk menguruskan diri kerana sukar bergerak.

Bapanya Mohd. Sabri Shari, sudah meninggal dunia pada 2020.

Dalam pada itu, Sapiah berkata, Nursuhaila merupakan anak sulung daripada empat beradik.

Menurut Sapiah, sebelum ini Nursuhaila banyak membantu keluarga dari segi kewangan, namun disebabkan masalah kesihatan dia tidak lagi mampu bekerja.

“Saya sentiasa memberi semangat serta dorongan supaya anak saya sentiasa cekalkan hati untuk melawan penyakitnya itu,” ujarnya.

Nursuhaila kini mempunyai semangat untuk sembuh dan boleh bekerja serta menyambung pelajaran.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian ke akaun bank BSN 0212341100001402 atas nama Sapiah Zainun atau menghu­bungi talian 019-214 1614.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN