fbpx
WINGS bakal mengadakan Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter bulan depan.

Tiada apa lagi yang Wings kejarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN 2025 genap 40 tahun kumpulan muzik rock legenda, Wings memperjuangkan muzik mereka dalam industri.

Beratus-ratus lagu dengan sentuhan karya yang dianggap magis telah mereka hasilkan. Malah, sehingga kini karya dendangan Wings masih lagi menjadi siulan bukan sahaja peminat seusia mereka, bahkan juga buat pencinta muzik masa kini.

Dalam tempoh hampir empat dekad memahat nama dalam industri, Wings yang dianggotai Datuk Awie selaku vokalis, Eddie (bes), Black (dram) dan Edrie (gitar) sudah puas mengecapi pelbagai kejayaan.

Populariti penuh gemilang yang diraih Wings membuatkan kumpulan itu tidak lagi mengejar apa-apa dan merancang untuk memperlahankan kembara seni mereka dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perlahankan rentak

Vokalis Wings, Datuk Awie ketika ditemui baru-baru ini memberitahu, dia memberi tempoh 10 tahun untuk kumpulannya terus bergiat aktif, sebelum mereka mengambil keputusan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia muzik.

“Tahun ini, sudah 39 tahun kami berada dalam industri sebelum memasuki usia empat dekad pada tahun hadapan. Tiada apa lagi yang mahu kami kejarkan sekarang.

KONSERT istimewa, Wings The Rock Emperor – Penang Chapter bakal menggegarkan SPICE Arena Penang di Pulau Pinang pada 24 Februari nanti.

“Buat masa ini, fokus kami adalah menjaga kesihatan masing-masing dan terus berkarya untuk peminat. Harta dunia bukan lagi keutamaan.

“Justeru, kami beri tempoh 10 tahun untuk Wings terus aktif sebelum perlahan-lahan mengundurkan diri,” katanya.

Kata Awie, perancangan tersebut bukanlah bermakna dia akan terus lenyap dari radar industri seni hiburan.

Cuma, selepas 10 tahun akan datang, dia bersama anggota lain akan memperlahankan rentak atas faktor usia, selain mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan mengejar saham akhirat.

“Kami semakin berusia. Saya sendiri sudah tidak mahu lagi galak mengejar tawaran persembahan dan hanya mengintai ruang untuk bersara.

“Masing-masing punya keluarga. Kami mahu melihat anak meningkat dewasa dan mencari kestabilan hidup.

“10 tahun lagi, usia saya sudah 66 tahun. Cukup-cukuplah kami aktif seperti sekarang. Tidak ada apa lagi yang mahu kami kejar atau buktikan,” katanya.

Projek istimewa

Bagaimanapun Awie berkata, hanya selepas tempoh tersebut baharulah mereka akan tampil dengan pelbagai projek khas yang sudah dirancang lebih awal sebagai tanda penghargaan kepada peminat.

“Kami hanya mahu kongsi pengalaman dengan generasi akan datang. Antara projek istimewa yang bakal dilaksanakan nanti adalah pembikinan filem biopik mengenai kisah suka duka Wings dalam mengejar cita-cita.

“Filem biopik itu nanti berkisarkan tentang kehidupan serta pengalaman kami sepanjang bergelar anak seni.

“Bukan itu sahaja, kami turut merancang untuk menganjurkan konsert percuma sebagai hadiah buat peminat yang tidak pernah jemu menyokong Wings sejak dahulu lagi,” jelasnya.
Sebagai penghibur berpengalaman, Wings tentunya mahu melihat industri seni tempatan terus berkembang dan mahu ke hadapan.

Justeru, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 55, terbuka hati dan mengalu-alukan pelapis muda hari ini yang mahu menimba ilmu dengannya.

“Saya sedia berkongsi pengalaman dengan generasi baharu yang bagi saya hampir majoritinya berpendidikan tinggi dalam muzik.

“Ramai yang berkelana ke luar negara, belajar muzik dan hal ehwal berkaitan dunia hiburan.

WINGS meletakkan tempoh 10 tahun dari sekarang untuk aktif sebelum membuat keputusan memperlahankan rentak seni mereka.

“Tapi mungkin mereka tak tahu bagaimana nak bermula. Datanglah kepada saya atau rakan-rakan wings yang lain untuk timba ilmu.

“Pengalaman yang kami miliki sekurang-kurangnya boleh membantu generasi baharu untuk memulakan kerjaya. Kami tidak belajar di universiti tetapi kami ada pengalaman untuk dikongsikan,” ujarnya.

Konsert Pulau Pinang

Beralih perkembangan terkini, bertempat di SPICE Arena Penang, Pulau Pinang, band tersohor itu bakal menemui peminat tegar menerusi konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter pada 24 Februari nanti.

Konsert edisi ketiga di Pulau Pinang itu merupakan susulan kejayaan yang diraih dalam acara sama di Singapura dan Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Istimewa untuk konsert kali ini, Wings memberi peluang kepada peminat mereka yang digelar ‘sayap-sayap Wings’, untuk memilih lagu yang mahu mereka perdengarkan ketika konsert itu nanti.

“Untuk konsert berdurasi dua jam itu nanti, kami akan persembahkan lebih 20 karya, termasuk senarai lagu yang dipilih sendiri oleh peminat.

“Lebih istimewa, peminat turut berpeluang membawa pulang lebih 700 hadiah eksklusif antaranya barangan peribadi milik anggota Wings untuk menerusi konsep Tonton, Gores & Menang yang diperkenalkan.

“Idea mengetengahkan konsep itu timbul selepas memikirkan apakah bentuk ganjaran yang sesuai untuk menghargai kesetiaan peminat.

“Ada lebih 700 barangan disediakan untuk pembeli tiket berharga serendah RM95 hingga lebih RM300 bagi tiket VIP. Hadiah termasuklah barangan pre-loved Wings seperti gitar dan jaket,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN