fbpx
Kerja-kerja memulihara lukisan lama dilakukan dengan teliti di Pusat Repositori Konservasi Seni Negara, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur. – SADDAM YUSOFF

‘Merawat’ karya seni lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DENGAN tekunnya, Anis Norfaqihah Mustaffa memegang berus dan kemudian mewarnakan sebuah lukisan dengan satu bahan berwarna putih.

Tujuan Anis Norfaqihah, 25, berbuat demikian adalah untuk melakukan konservasi atau kata lainnya ‘merawat’ lukisan berusia puluhan tahun itu.

“Sebenarnya lukisan ini ada bahagian yang tertanggal cat asalnya.

“Jadi, saya perlu menampal bahagian itu dengan bahan yang dinamakan sebagai ‘putty’ sebelum boleh mewarnakannya kembali dengan warna asalnya,” kata Anis Norfaqihah kepada K2.

Lukisan yang ada di situ dirawat olehnya yang juga merupakan Kurator Konservasi di Pusat Repositori Konservasi Seni Negara, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur. Lukisan tersebut sebenarnya dihasilkan pada tahun 1962 oleh pelukis, Cheong Soo Pieng.

Jika dihitung, lukisan itu telah berusia lebih 60 tahun, maka pasti akan ada bahagian-bahagian telah tertanggal cat asalnya dan perlu dikonservasi agar karya seni itu terus terpelihara.

Bukan lukisan itu sahaja, malah negara kita sebenarnya miliki banyak karya seni yang harus terus dipelihara.

Ini kerana, kegiatan menghimpunkan karya seni telah berkembang dengan bertambahnya bilangan pelukis, kolektor, galeri awam dan swasta serta institusi pengajian seni di seluruh negara.

Oleh itu, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) mengambil tanggungjawab untuk menubuhkan Pusat Repositori Konservasi Seni Negara atau juga dikenali sebagai Hospital Seni bagi menguruskan koleksi dan konservasi seni serta menawarkan khidmat nasihat, restorasi dan storan koleksi seni kepada orang awam.

Ketua Kurator Kanan LPSVN, Musrizal Mat Isa berkata, Hospital Seni itu menyediakan perkhidmatan dan menyokong aktiviti konservasi berkenaan karya-karya visual seni negara.

Menurutnya, dalam konteks itu, mereka cuba mendekati pelawat yang melawat Balai Seni Negara untuk melihat tentang aktiviti konservasi dan pemuliharaan koleksi seni.

“Kita mahu pelawat yang datang bukan hanya menghayati bahan pameran seni sahaja.

“Sebaliknya kita mahu menunjukkan kepada mereka bagaimana koleksi seni itu dijaga dan dibaik pulih sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, Hospital Seni itu adalah yang pertama di rantau Asia Tenggara.

Mengulas lanjut tentang Hospital Seni itu, Musrizal berkata, mereka mempunyai tiga ruang penyimpanan iaitu repositori arca dan objek seni, repositori catan dan repositori karya atas kertas.

“Bagi repositori arca dan objek seni ia dikhususkan untuk penyimpanan koleksi arca dan objek seni terdiri daripada pelbagai bahan dan bersifat tiga dimensi.

“Bagi penyimpanan catan pula, ia melibatkan apa sahaja lukisan yang dihasilkan di atas kanvas yang disimpan oleh Balai Seni Negara,” jelasnya.

Karya-karya catan terdiri daripada pelbagai bahan tara seperti cat minyak, akrilik, batik dan kolaj yang disimpan di situ.

Musrizal (kiri) menerangkan tentang proses konservasi karya seni yang telah berusia puluhan tahun.

Sementara itu, bagi repositori karya atas kertas pula ruang itu menyimpan karya-karya atas kertas merangkumi cetakan, lukisan, lukisan dakwat cina, cat air, foto dan bahan-bahan arkib.

Karya-karya ini disimpan di dalam bilik sejuk mengikut piawaian konservasi dan suhu bilik penyimpanan di bawah keadaan ambien yang akan memanjangkan jangka hayat koleksi.

Selain itu, Hospital Seni itu juga mempunyai repositori pelukis dan kolektor seni di mana ruang ini digunakan untuk menyimpan koleksi pelukis dan kolektor seni.

Setiap karya yang disimpan di situ akan mempunyai perjanjian sewaan repositori karya dan mendapat perlindungan insurans dengan kos tertentu.

Dalam pada itu, Hospital Seni juga dilengkapi dengan makmal konservasi catan, kertas dan objek untuk tujuan rawatan karya seni.

Sebagai contoh, kerja konservasi catan antara rawatan yang disediakan termasuklah cleaning, tear repair, image re-integration, lining dan sebagainya.

Selain itu, makmal itu juga dilengkapi dengan peralatan seperti Polarized Light Microscope dan X-ray Fluorescence untuk membantu kerja-kerja konservasi dengan lebih terperinci.

Sementara itu, Musrizal menjelaskan Hospital Seni itu juga dilengkapi bilik kajian koleksi.

Menurutnya, di ruang itu, pengunjung berpeluang untuk melihat kerja-kerja di belakang tabir melibatkan konservasi.

“Pendekatan yang kita ambil juga adalah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang awam.

“Apabila mereka datang ke sini, mereka bukan sahaja boleh lihat kerja-kerja konservasi tetapi bagaimana juga cara-cara penyimpanan karya seni,” terangnya.

Musrizal menjelaskan, amat penting untuk menjaga karya-karya seni kerana ia merupakan satu koleksi negara.

“Kita menyimpan lebih 5,000 karya seni, malah ada karya yang berusia lebih 100 tahun disimpan.

“Karya-karya seni yang dihasilkan pada zaman kolonial juga menjadi koleksi yang paling bersejarah yang kita simpan dan ia ‘fragile’ dan perlu dijaga dengan sebaiknya,” terangnya.

Tambah Muzrizal, koleksi-koleksi seni yang disimpan di Balai Seni Negara itu perlu terus dijaga dengan sebaiknya kerana ia menggunakan duit pembayar cukai ataupun duit rakyat.

Oleh itu, bagaimana untuk memulangkannya semula kepada rakyat adalah dengan dengan memeliharanya dan memberi ruang kepada rakyat untuk datang melihatnya.

Dalam pada itu, dengan adanya Hospital Seni itu juga, ia sebenarnya menyokong kepada ekosistem industri seni negara itu sendiri.

Apabila kemudahan sebegitu disediakan, ia akan memudahkan pemain industri untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Menurut Musrizal, di luar sana, mungkin ada yang tidak mempunyai kemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan konservasi dan penyimpanan.

“Kita antara pemangkin yang menyediakan perkhidmatan itu dan ini memberi peluang kepada pemain industri seperti kolektor untuk terus menyimpan karya-karya seni.

“Inilah antara kepentingan yang kita nampak dengan adanya Hospital Seni ini,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN