GUA MUSANG – Penduduk Kampung Serian di sini, kecewa apabila jalan yang dijanjikan sejak 10 tahun lalu bernilai RM5.3 juta bukan sahaja tidak disiapkan, malah dua jambatan yang dibina langsung tidak berguna buat mereka.
Penduduk mendakwa, jalan sepanjang 18 kilometer itu sepatutnya dibina hingga bersambung ke Kampung Baru Star di sini, tetapi ia tidak disiapkan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan pada 2013 hingga mengundang kesulitan kepada mereka.
Seorang penduduk, Muhamad Rofi Ismail, 56, berkata, projek itu sepatutnya dapat menjimatkan masa ke bandar Gua Musang dan Jeli tetapi ia hanya diturap sejauh 300 meter dari Kampung Serian dan 200 meter dari Kampung Baru Star.
“Dua jambatan yang dibina langsung tidak berguna kepada penduduk. Lebihan laluan hanya ditimbun dengan batu kasar dan dibiarkan bertahun-tahun hingga jalan semakin rosak dan sukar digunakan.
“Sehubungan itu, kita menggesa supaya jalan terbengkalai itu disiapkan dengan kadar segera supaya penduduk mendapat manfaatnya,” katanya ketika ditemui di sini.
Kadir Wahab, 61, pula berkata, penduduk hairan bagaimana projek itu boleh terbengkalai sedangkan dana telah diberikan kepada agensi terlibat.
“Penduduk tidak dapat membawa keluar hasil kebun kerana jalan berlubang dan rosak. Kami rasa teraniaya kerana ia hanya boleh dilalui dengan motosikal dan trak pikap,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Faisal Yaakob, 32, berharap agar projek jalan itu dapat diteruskan.
Katanya, sepatutnya projek jalan alternatif itu sudah lama siap dibina dan dapat digunakan secara selesa oleh penduduk kampung.
“Jika jalan ini dibina, ia dapat memendekkan masa selama 30 minit berbanding satu jam menggunakan jalan biasa untuk ke bandar Gua Musang.
“Selain itu, jalan ini juga tidak terganggu dengan bencana banjir berbanding jalan utama Kampung Serian yang sering dinaiki air sehingga penduduk terkandas. Kami berharap projek jalan ini dapat disiapkan demi keselesaan lebih 1,000 penduduk kampung,” katanya.















