BESUT – Seorang lelaki yang sebelum ini menjadi harapan keluarga kini terlantar koma akibat kemalangan jalan raya pada awal bulan ini.
Wan Mohd. Fairuz Wan Abdul Razak, 39, dipercayai menjadi mangsa langgar lari sebuah kereta pada pukul 2.45 pagi, 8 Januari lalu.
Adik perempuannya, Farhana Nabilah, 25, berkata, sewaktu kejadian, abangnya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru, Kuala Besut dari tempat kerjanya di Tok Saboh di sini.
“Abang bekerja sebagai pembantu sebuah pusat pengumpulan ikan di Tok Saboh biasanya pulang berjalan kaki ke rumah pada awal pagi setelah selesai bekerja bermula pukul 5 petang setiap hari.
“Hari itu dia pulang ke rumah dengan berjalan kaki seperti biasa sebelum dikatakan dirempuh sebuah kereta yang masih belum dikenal pasti di Jalan Tok Saboh, Kuala Besut di sini,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Baru, Kuala Besut di sini baru-baru ini .
Farhana Nabilah berkata, abangnya ditemui terbaring di atas jalan raya dalam keadaan parah sebelum dihantar oleh orang ramai ke Hospital Besut di sini.
Tambahnya, abangnya yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik kini koma setelah mengalami trauma pada bahagian kepala.
“Doktor yang merawat memberitahu abang koma akibat hentakan kuat pada otak. Memorinya mungkin terjejas selain proses pemulihan juga dijangka memakan masa.
“Sedih melihat abang hanya terbaring kaku di atas katil. Sewaktu sihat, dialah tulang belakang keluarga,” katanya.
Farhana Nabilah berkata, selain banyak menanggung keluarga, Wan Mohd. Fairuz tidak pernah merungut menguruskan bapa mereka yang juga terlantar akibat strok.
Dia yang masih dalam proses mencari pekerjaan memberitahu, kos pembelian susu khas dan lampin pakai buang abangnya menelan belanja hampir RM500 seminggu.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Banl Islam Farhana Nabilah bernombor 13035020738520 atau menghubunginya di talian 011-3704 0428.














