fbpx
Batu nisan yang dipercayai dipasang oleh penagih dadah di hadapan Surau Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun semalam.

Surau jadi markas ‘kerabat jin Bukit Bauk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Seorang penagih dadah yang mendakwa sebagai kerabat kerajaan jin Bukit Bauk kembali membuat onar apabila menjadikan sebuah surau di taman rekreasi hutan rimba sebagai markas untuk melepaskan gian baru-baru ini.

Suspek berusia 37 tahun itu sebelum ini pernah menggemparkan penduduk setempat apabila mengaku sebagai raja muda kerajaan jin tersebut.

Dia juga pernah ditangkap beberapa kali sekitar tahun 2019 dan 2020 oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu kerana melakukan amalan aneh yang bertentangan dengan ajaran Islam di surau berkenaan.

Pegawai Daerah dan Tanah Dungun, Jusman Ibrahim berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai kehadiran semula lelaki ber­kenaan telah memohon bantuan pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.

“Saya difahamkan dia telah ditahan pada Selasa lalu ketika khayal dadah.

“Dia kini telah ditempatkan di Pusat Pemulihan Narkotik Gambang, Pahang,” katanya.

Menurut Jusman, pemeriksaan bersama Jabatan Perhutanan baru-baru ini mendapati sebahagian tingkap surau yang dicat warna kuning berkenaan telah ditutup dengan kain.

Tambahnya, penagih dadah itu juga disyaki meletakkan batu nisan di hadapan surau.

“Selain itu, kita juga jumpa beberapa batang lilin di dalam surau,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Anas Ibrahim, 34, menggesa pihak berkuasa terus memantau surau itu agar tidak disalah guna lagi oleh mana-mana pihak termasuk individu sama pada masa akan datang.

“Ini bukan kali pertama surau itu diceroboh dengan perbuatan khurafat. Dulu dia pernah ditangkap tetapi datang lagi baru-baru ini.

“Walaupun dimaklumkan telah ditangkap, tidak mustahil dia akan kembali semula dan mengulangi perbuatan selepas dibebaskan nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN