AWAL minggu ini, dunia hiburan tanah air kecoh dek isu penamatan khidmat Tyzo sebagai penyampai radio Suria FM selepas lapan tahun bersama stesen radio berkenaan.
Pengurusan stesen radio berkenaan menyatakan keputusan dibuat sebagai langkah merangka strategi dan perancangan baharu bagi 2024.
Bagaimanapun, timbul prasangka dalam kalangan pendengar apabila pemilik nama lengkap Tuah Zolqarnain itu mendedahkan insiden yang menimpanya sebagai bentuk penganiayaan.

Ramai yang tidak bersetuju dengan penamatan perkhidmatan Tyzo. Masing-masing mahu memboikot Suria FM yang dianggap menzalimi pekerja.
Minggu ini, Kosmo! Online menyenaraikan beberapa penyampai radio yang turut terpalit nasib sama seperti Tyzo apabila digugurkan walaupun masih ada baki kontrak.
Anna Al-Juffrey

KECEWA. Itu yang digambarkan bekas penyampai radio Suria FM, Anna Al-Juffrey selepas ditamatkan kontrak pada 18 Jun tahun lalu dengan notis pemberitahuan dalam tempoh kurang sebulan.
Anna atau lebih dikenali sebagai Anna J menyifatkan tindakan pengurusan stesen terbabit sebagai tidak profesional kerana status dirinya bersama Suria FM terkontang-kanting sejak tiga bulan lalu.
Tindakan tidak matang pihak stesen terbabit menjadi pertikaian, sekali gus didakwa menjejaskan kariernya sebagai penyampai radio.
Bagaimanapun, Anna yang mengendalikan segmen Suria Pagi Show memahami suasana bekerja dalam industri penyiaran mengenai kontrak sama ada sambung atau tamat adalah perkara biasa.
Shahrol Shiro

SELEPAS tiga bulan bawah bumbung Suria FM, pelawak Shahrol Shiro tidak lagi bersama stesen radio berkenaan sejak Januari 2019.
Menurut pengurusan radio, penamatan kontrak pemilik nama lengkap Shahrol Azizie Azmi dibuat awal kerana menghormati komitmennya dalam program realiti televisyen.
Mereka turut memaklumkan tindakan tersebut diambil berikutan faktor disiplin serta prestiasi kerja Shahrol yang kurang memuaskan.
Keadaan semakin kecoh apabila pelakon telefilem Mujibur Mari itu tampil mempertahankan diri kerana menganggap Suria FM tidak profesional walaupun dia terbuka hati ditamatkan kontrak.
Isu disiplin yang berlaku adalah disebabkan kesibukan Shahrol ketika menyertai Maharaja Lawak Mega 2018 sehingga datang lewat ke tempat kerja.
Namun, Shahrol yang kini aktif sebagai ahli politik akur menjalani hukuman di gantung kerja dan ditolak gaji.
Dia turut menitipkan pesanan, untuk maju tanpa harus menyingkirkan orang lain dan naik tinggi tanpa menjatuhkan yang lain.
Linda Onn

ENAM tahun berkhidmat sebagai penyampai radio Suria FM, Linda Onn memaklumkan kontraknya bersama stesen berkenaan ditamatkan serta-merta sekitar tahun 2016.
Dia turut menegaskan bahawa walau banyak mana sekali anugerah diraih tidak akan menjamin kedudukan penyampai radio.
Selepas ditamatkan kontrak, anak kelahiran Singapura itu masih belum mempunyai perancangan untuk ke stesen radio lain tetapi masih ingin meneruskan minat dalam dunia radio.
Kini, Linda atau nama lengkapnya Rozlindah Onn hanya menumpukan perhatian terhadap perniagaan nasi ayam.
Mark Adam

SECARA tiba-tiba perkhidmatan Mark Adam sebagai penyampai radio Hot FM ditamatkan selepas enam bulan ke udara.
Katanya, kontrak untuk mengendalikan slot Geng Pagi Hot bersama Fizie dan Riena Diana sebenarnya adalah untuk tempoh dua tahun.
Namun, pemilik nama sebenar Marcus Adam Macaraig Echivarre itu reda selain menganggap tiada rezeki dalam bidang penyiaran walaupun terkilan diberhentikan lebih awal.
Pada hari sama, Fizie yang juga merupakan rakan setugas turut ditamatkan kontrak selepas hampir 10 tahun bersama radio Hot FM. – KOSMO! ONLINE














