PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berketuruan India, Rashmika, 6, menjadi tumpuan ramai di media sosial kerana mampu bertutur tujuh bahasa, selain turut fasih mengaji beberapa surah lazim dalam al-Quran.
Kedengaran agak mustahil, namun itulah yang dibuktikan Rashmika apabila dia menunjukkan kemampuan bertutur dalam bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin, Arab, Sanskrit, Tamil serta mahir berbahasa ibundanya, Telugu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video memaparkan Rashmika yang juga murid prasekolah Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang, Perak membaca surah al-Fatihah dengan begitu lancar sehingga meraih lebih 1.2 juta tontonan di TikTok dan rata-rata penonton memuji kehebatan kanak-kanak tersebut.
Menurut Rashmika, dia mempelajari bacaan beberapa surah al-Quran seperti al-Fatihah, al-Ikhlas serta bacaan doa makan, masuk tandas dan belajar hanya dengan mengikuti bacaan rakan-rakan di kelasnya.
“Saya belajar sendiri di sekolah, saya belajar dengan kawan-kawan. Bila kawan-kawan baca, saya ikut mereka dan bila balik rumah, saya belajar sendiri semula sampai pandai.
“Saya suka belajar banyak benda, banyak bahasa. Saya pun suka baca al-Quran macam kawan-kawan Melayu. Saya sendiri yang nak belajar semua itu,” katanya.
Menurut anak kedua dari tiga beradik itu, dia hanya mengambil masa sekitar sebulan untuk menghafal surah-surah tersebut.
Sementara itu, kakaknya, Dhacaayani Sagar, 25, berkata, dia pada awalnya tidak menyangka video bersama adiknya menjadi tular sehingga viral ke
luar negara apabila terdapat pengguna dari Indonesia turut meninggalkan komen pujian pada video tersebut.
“Mula-mula dia (Rashmika) kata pada saya yang dia pandai baca doa (surah), saya pun terus buat video. Saya memang tak tahu apa itu doa orang Melayu, Islam, jadi dia cakap saya boleh baca doa.
“Saya sendiri tidak faham apa dia baca, tetapi dia spontan membacanya. Bacaannya bagi saya lancar walaupun tidak tahu maksud di sebaliknya. Bila saya muat naik di TikTok, ramai kawan, orang luar komen kata bacaannya bagus, sangat lancar,” kongsinya.
Dalam pada itu, ibu Rashmika, Vignesiree, 37, memberitahu, anaknya itu sememangnya seorang kanak-kanak yang cintakan ilmu.
“Anak saya suka membaca, suka belajar benda baharu. Baginya, jika perkara itu boleh dilakukan oleh kawan-kawan atau orang lain, dia juga mahu mempelajarinya,” katanya.
@kosmoonline Seorang kanak-kanak perempuan berketuruan India, #Rashmika, 6, menjadi tumpuan ramai di media sosial kerana mampu bertutur tujuh bahasa, selain turut fasih mengaji beberapa surah lazim dalam al-Quran. #pandaimengaji #beritatiktok ♬ original sound – Kosmo!














