fbpx
Nasi dikepal dan dibentuk menjadi bujur dengan menggunakan senduk.

Semakin ramai kenal punten

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAGI Sabtu itu, seorang penduduk di sekitar Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Farah keluar rumah awal pagi untuk pergi membeli juadah sarapan.

Setibanya di Restoran Dapur Selasih, dia terus turun dari kenderaannya dan mula beratur bersama beberapa pelanggan lain untuk membeli juadah istimewa dikatakan berasal dari Jawa Timur iaitu punten.

“Saya sebelum ini memang pernah membeli punten dan saya akui ia amat enak.

“Hujung minggu sebegini rasa teringin pula, maka saya beratur awal pagi untuk membeli punten buat keluarga,” katanya kepada K2.

Farah mengakui juadah itu agak sukar ditemui di tempat lain dan kerana itu dia sering mendapatkannya di kedai yang sama.

Punten merupakan sejenis menu tradisi dari Jawa yang mempunyai tekstur seakan-akan nasi impit.

Begitupun, rasanya sedikit berbeza berbanding nasi impit memandangkan tekstur punten agak berminyak dan ia lazimnya dimakan bersama sambal bilis cili padi.

Bahan-bahan menyediakan punten pula mirip dengan bahan yang digunakan untuk memasak nasi lemak iaitu beras, air, garam dan juga santan.

Justeru, tudak hairanlah juadah punten ini turut mendapat jolokan nasi lemak Jawa.

Bahan-bahan bagi sambalnya pula adalah bawang merah, bawang putih, cili padi kampung, ikan bilis yang sudah digoreng, udang kering kisar, air asam jawa dan juga minyak.

Punten biasanya dimakan sebagai menu sarapan pagi dan adakalanya turut disajikan dalam majlis perkahwinan masyarakat Jawa.

Biarpun merupakan satu menu tradisi dari Jawa, namun tidak semua masyarakat Jawa pandai membuat punten.

Berlainan dengan nasi impit, punten mempunyai tekstur yang sedikit berminyak.

Berbekalkan minat dan resipi punten daripada nenek atau individu yang dipanggil embah (bahasa Jawa) itu, Danial Misban, 29, nekad menghasilkan sendiri menu tersebut yang kemudiannya dijadikan sebagai sumber pendapatannya.

Jejaka yang juga dikenali dengan nama Abang Bahulu menerusi akaun TikTok itu menjadi individu yang menularkan menu tradisional itu baru-baru ini, menjadikan ramai warganet yang semakin mengenali menu tersebut dan teringin untuk mencubanya.

Jelas Danial, dia yang mengusahakan perniagaan menjual punten di Restoran Dapur Selasih di Shah Alam berasa seronok dan sama sekali tidak menyangka telah mempopularkan menu tersebut yang merupakan juadah yang kerap dimakannya sejak kecil.

Setiap hujung minggu, seawal pukul 7.30 pagi, orang ramai akan beratur panjang untuk membeli juadah tersebut yang menjadi menu signatur Danial.

Sesi live yang dikendalikannya tatkala menjual menu itu juga membantu dia meraih lebih ramai pelanggan bukan sahaja dalam kalangan penduduk sekitar, tetapi juga peminat menu punten dari Kuala Lumpur dan juga Melaka.

Kongsi Danial, resipi turun-temurun itu menjadi punca rezekinya sejak lebih tiga tahun lalu.

“Resipi ini merupakan resipi lama yang digunakan oleh nenek setiap kali dia menyediakan juadah punten buat keluarga.

“Ia kemudiannya diturunkan kepada ibu dan memandangkan saya kerap membantu ibu menyediakan punten, maka daripada situ saya belajar cara menyediakan juadah istimewa ini sehinggalah nekad untuk menjualnya,” katanya.

Jelas Danial yang berasal dari Klang, permintaan terhadap punten itu sebelum ini cukup perlahan dan apabila dia menyebut tentang menu tersebut, masih ramai yang terpinga-pinga dan tidak pernah mendengar tentang juadah tersebut.

Begitupun, selepas kerap memuat naik video dirinya memakan dan menjual punten di beberapa lokasi termasuk festival makanan sekitar Lembah Klang dan kompleks kerajaan di Putrajaya sekitar akhir tahun lalu, menu punten kini semakin dikenali, menjadikan warganet mula berminat untuk mencuba menu itu.

Bahkan, salah satu video Danial yang menerangkan tentang menu tersebut kepada seorang wanita mendapat sehingga 6.7 juta tontonan dan lebih 7,000 komen.

Akui Danial, dia bukanlah satu-satunya individu yang menjual juadah tersebut, namun Danial jarang melihat generasi muda sepertinya yang mahir membuat juadah punten.

“Punten ini mempunyai peminatnya yang tersendiri dan jika diikutkan, juadah ini cukup popular di Sabak Bernam memandangkan di sana ramai masyarakat Jawa,” katanya.

Berkongsi cara penyediaannya, Danial berkata selepas dimasak, nasi tersebut akan ditumbuk sehingga hancur, sebelum dikepal dan dibentuk menjadi bujur.

Proses membentuk punten itu juga dipanggil sebagai mencetak dan menurut Danial, proses tersebut yang dibuat laju dan kemas menjadikan penonton siaran langsungnya di TikTok cukup terpegun.

Biarpun nampak mudah, proses tersebut memerlukan teknik tersendiri.

“Nasi yang sudah hancur itu perlu dikaup dengan padat menggunakan senduk dan ‘dipotong’ menggunakan senduk sama bagi menghasilkan bentuk yang kemas.

“Ia seterusnya diletakkan di atas pinggan dan sedia dihidang,” katanya yang menjual punten pada harga RM6 sebekas.

Tambah Danial, sama seperti nasi lemak, pilihan atau padanan lauk untuk dimakan bersama punten juga boleh dipelbagaikan mengikut cita rasa.

“Memandangkan ini merupakan menu dari Jawa, maka padanan lauk lain untuk punten yang menurut saya cukup enak adalah sambal goreng dan juga sambal tahun,” katanya.

Kongsi Danial lagi, selain punten, dia turut menjual baulu tujuh perisa di lokasi sama.

Danial memberitahu bahawa sebelum ini, dia lebih memfokuskan kepada jualan baulunya dan oleh sebab itu memilih nama Abang Bahulu sebagai nama bagi akaun media sosial miliknya.

Begitupun, menu punten yang dahulunya hanya merupakan menu sampingan di kedainya kini ‘sama naik’ dengan baulu yang dihasilkannya, menjadikan Danial cukup gembira.

Justeru, Danial berharap agar usahanya yang menjual menu tradisi orang Jawa yang kurang dikenali ramai itu akan memperkenalkan lagi menu tradisi itu bagi memastikan ia kekal hidup dan tidak dilupakan masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN