fbpx
Penduduk di Flat Taman Sri Bayu, Bayan Lepas beratur panjang untuk mengambil bekalan air dari lori tangki susulan gangguan bekalan air baru-baru ini.

‘Cukuplah derita 40 jam, kami sudah serik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALIK PULAU – Penduduk di daerah Barat Daya terutama di Bayan Lepas di sini mengakui masih dibelenggu rasa ­trauma ekoran gangguan bekalan air hampir 40 jam yang dilalui ­mereka sebelum ini.

Rata-rata penduduk turut mengakui tempoh berkenaan cukup memeritkan dan menguji kesabaran mereka bagi menja­lani kehidupan harian.

Menurut penduduk, mereka tidak sanggup lagi untuk me­ngangkat air dari tangki selain berulang-alik ke sungai berhampiran.

Penduduk Taman Sahabat, Teluk Kumbar, Nor Hashimah Zakaria, 33, berkata, dia sema­kin trauma setiap kali berdepan gangguan air sehingga terpaksa berulang-alik dari rumahnya ke sebatang sungai di sebuah dusun durian berhampiran Pantai Tanjung Asam setiap hari.

Dakwa ibu kepada dua cahaya mata itu, kehadirannya ke situ bertujuan untuk menjimatkan air yang terlebih dahulu disimpan di rumahnya yang terletak di tingkat tiga sebuah flat.

“Kami tiga beranak terpaksa naik motosikal dan berulang-alik ke sungai dekat dusun durian setiap pagi dan petang.

“Memang trauma dan kalau boleh tidak mahu lagi berdepan dengan gangguan bekalan air. Ini merupakan kali kedua penduduk di daerah ini berdepan situasi sama lebih 24 jam selepas kejadian pada Disember lalu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang warga emas, Rapidah Mahmud, 72, berharap agar perkara sama tidak lagi berulang selepas ini.

“Sejujurnya, kami sudah letih. Jika sebelum ini (ketika berlaku gangguan bekalan air luar jangkaan Disember lalu), kami langsung tidak menerima bantuan bekalan air selama tiga hari selain tiada langsung lori tangki air masuk ke kawasan.

“Kali ini, mujur pihak Parlimen Balik Pulau tempatkan satu ­tangki statik berhampiran kawasan rumah, bolehlah saya dan anak perempuan ulang-alik ambil air yang terletak kurang 40 meter dari rumah,” ujarnya.

Sebelum ini, Perba­danan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan memaklumkan, pengguna di kawasan di bawah Tahap 2 pemulihan bekalan air telah mendapat bekalan dan kini pihaknya ber­usaha untuk memulihkan bekalan kepada 99.5 peratus dari­pada 590,000 pengguna bermula pukul 6 pagi kelmarin.

Media melaporkan kira-kira 590,000 atau lebih 80 peratus penduduk Pulau Pinang akan berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari lalu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan di LRA Sungai Dua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN